Melayu perlu hormati hak-hak rakyat bukan Melayu, kata Shahrizat

T K Letchumy Tamboo
November 26, 2014 14:45 MYT
Persidangan pergerakan Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO ke-68 di PWTC.
Orang Melayu dan Bumiputera mempunyai tanggungjawab untuk hidup dengan harmoni bersama bangsa-bangsa lain dan juga mesti menghormati hak-hak bukan Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ini adalah amanat Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang berkata sayap parti itu tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang mahu menggugat atau mempertikaikan agama Islam sebagai agama rasmi, hak keistimewaan Raja-Raja, hak keistimewaan Orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
"Maka saya mohon supaya janganlah sesiapa mempersoalkan kerakyatan dan kewarganegaraan bangsa seperti kaum Cina dan India yang lahir di sini.
"Jika kita tak mahu mereka mempersoalkan keistimewaan kita sebagai orang asal tanah ini, kita juga mesti menghormati mereka sebagai rakyat yang mempunyai hak di negara ini," katanya semasa ucapan dasarnya di persidangan Pergerakan Wanita UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Shahrizat berkata terdapat beberapa anasir-anasir yang mempunyai agenda politik, yang mencabul integriti Perlembagaan Persekutuan, dan cuba membawa kepada keresahan semua kaum.
"Mungkin mereka merasakan bahawa kerana kita di dalam UMNO berjuang dengan beradab, tidak mengacu mereka dengan fitnah, tohmahan, mungkin mereka rasa kita boleh dirogol secara politik tanpa kita menyerang balas. Mungkin sebab itu mereka dengan sewenang-wenangnya telah membawa negara Malaysia yang satu ketika dahulu bersatu padu tetapi pada hari ini berada di ambang bahaya dari segi perpaduan.
“Latar belakang sejarah menunjukkan bahawa kompromi antara semua etnik di Malaysia seperti Melayu, Cina dan India serta pribumi Sabah dan Sarawak tentang hak-hak bersama kaum-kaum tersebut dan hak-hak istimewa serta hasil rundingan dan persetujuan dengan Raja-Raja Melayu dan pihak Inggeris bagi mencipta suatu sistem negara yang mengamalkan ciri-ciri demokrasi, bebas, adil dan makmur telah melahirkan Perlembagaan Persekutuan yang pada hakikatnya merupakan suatu kontrak sosial untuk semua masyarakat di Malaysia,” katanya.
#hak #Kerakyatan #Melayu #Shahrizat Jalil #Wanita UMNO
;