Melayu mudah lupa bersama PH - Abdul Hadi

Sinar Harian
Jun 1, 2023 19:51 MYT
Abdul Hadi berkata, banyak ikrar mereka sebelum ini dilupakan dan ia terbukti apabila kenyataan awal sebelum menjadi kerajaan dan selepas menjadi kerajaan yang jelas bertentangan. - Fail/Sinar Harian
SHAH ALAM: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang melabelkan orang Melayu termasuk pemimpinnya yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai Melayu yang mudah lupa kerana melanggar prinsip masing-masing untuk bersekongkol membentuk kerajaan.
Beliau berkata, banyak ikrar mereka sebelum ini dilupakan dan ia terbukti apabila kenyataan awal sebelum menjadi kerajaan dan selepas menjadi kerajaan yang jelas bertentangan.
"Antara yang terawal ialah kenyataan bersemangat yang dilaungkan oleh pemimpin UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), berulang kali di hadapan para perwakilan dari seluruh negara. Laungan yang diulangi, 'No DAP! No Anwar!'.
"Kini, pemimpin UMNO pula bersekongkol dengan mereka yang dilaungkan itu dengan penuh mesra dan akrab, malah membuat kenyataan untuk bersama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sehingga membelakangi dasar dan perjuangan parti," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah Abdul Hadi, mereka yang dalam kalangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula berdegar-degar dengan laungan 'Reformasi!' dan berjuang ingin menghapuskan rasuah, salah laku, kronisme, nepotisme dan lain-lain namun kini juga tidak berlaku seperti yang diharapkan.
"Rupa-rupanya, apa yang mereka lakukan itu laksana lakonan semata-mata.
"Tiba-tiba, PKR pun bersekongkol dengan kelompok yang mengamalkan kronisme, nepotisme dan banduan yang telah dihukum serta kluster mahkamah bagi mencukupkan jumlah untuk menubuhkan kerajaan," katanya.
Ahli Parlimen Marang itu juga mendakwa, banyak janji ketika Pilihan Raya Umum (PRU) seperti menurunkan harga minyak dalam masa 24 jam sekiranya menjadi kerajaan, menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menghapuskan tol, juga tidak berlaku.
"Selepas berjaya mengambil alih kerajaan melalui PRU14, semua janji dan ucapan itu tenggelam dimakan masa. Melayu yang mudah lupa bersamanya terus menyambung perjuangan yang sama.
"Perbuatan buruk mereka itu berkekalan sehinggalah mereka mengambil alih kerajaan selepas PRU15 dengan sokongan Melayu yang mudah lupa juga. Keadaan yang sama masih terus berulang dengan kenyataan-kenyataan yang dinafikan kemudiannya," katanya.
Katanya lagi, maka kerana itu Perikatan Nasional (PN) khususnya Pas menolak semua tawaran untuk sama-sama menyertai Kerajaan Perpaduan meskipun dipujuk oleh 'broker' dari dalam negara mahupun luar negara.
"Pas menolak segala janji yang tidak boleh dipercayai, kerana Pas ialah Melayu yang tidak lupa," ujar beliau.
Jelas Abdul Hadi, mengikut hukum Islam, pelantikan jawatan penting dalam kerajaan seperti hakim sehinggalah ketua negara adalah wajib bersifat adil iaitu tidak fasiq.
"Termasuk dalam sifat fasiq itu adalah berbohong. Maka, penganut Islam tidak boleh menyokong pembohong, bahkan bukan Islam yang bermaruah juga sama-sama tidak boleh menyokong pembohong," katanya. -- Sinar Harian
#Abdul Hadi Awang #Melayu mudah lupa #orang Melayu #Kerajaan Perpaduan
;