Melayu jangan terpedaya dengan janji manis Kit Siang - Tajuddin
Wan Syamsul Amly
Julai 14, 2015 07:17 MYT
Julai 14, 2015 07:17 MYT
Orang Melayu dan Islam diminta tidak mudah terpedaya dengan apa juga alasan serta pujukan pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang untuk menyertai parti itu.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, tindakan DAP selama ini jelas merupakan sebuah parti anti Melayu, bangsa, Raja-raja Melayu serta selama ini terbukti mencabar kesucian agama Islam.
"DAP sebuah parti rasis Cina. Bukankah pemimpin-pemimpin DAP yang menghalau Melayu balik ke kampung untuk menanam ubi dan kacang pada13 Mei 1969 dahulu apabila mereka menang banyak kerusi d Selangor.
"Bukankah mereka yang memperlekeh pegawai dan kakitangan kerajaan yang dianggap mereka bodoh serta apabila berkuasa bercadang akan membuang sebahagian besar pegawai dan kakitangan Melayu di dalam organisasi," katanya ketika dihubungi.
Tajuddin mengulas jemputan Kit Siang yang mengalu-alukan orang Melayu dan Islam menyertai parti itu untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah negara yang gagal kerana rasuah, ketidakadilan dan salah tadbir.
Dalam satu ucapan kepada pemimpin DAP Perak di Ipoh pada malam Isnin, Kit Siang juga mahu DAP menggandakan usaha untuk menggalakkan orang Melayu dan Islam yang sealiran pemikiran dan cita-cita untuk menyertai parti itu "demi Malaysia yang bersatu, harmoni, inklusif, progresif, adil dan makmur".
Tegas Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, jemputan itu dilihat muslihat DAP yang sebenarnya akan membunuh semangat Melayu serta Islam di negara ini dengan perangkap politik parti itu.
"DAP juga menentang pelajar Melayu sebagai pelajar Uniiversiti TeknologiMara (UiTM) sepenuhnya.
Banyak lagi sebenarnya kenyataan dan tindakan DAP yg menunjukkan mereka anti Melayu," jelasnya.
Dalam pada itu Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menjelaskan Ucapan Kit Siang itu hanya retorik semata-mata.
"Saya mengingatkan orang Melayu supaya jangan terpengaruh dengan seruannya supaya menyertai DAP.
"Orang Melayu kena ingat, apa yang berlaku kepada Tunku Aziz yang pernah menjadi Naib Presiden DAP. Akhirnya dia keluar parti kerana DAP sebenarnya parti yang didominasi kroni dan keluarga sama ada keluarga Kit Siang atau keluarga mendiang Karpal Singh," tegasnya.
Kata Dr Mohd Puad lagi, semuanya sudah terbukti dengan monopoli kroni Kit Siang dalam jawatan kuasa pusat parti itu sendiri.
"DAP tetap kekal demgan dasar Malaysian Malaysianya yang bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia. Sebab itu DAP akan memainkan isu kaum untuk survival mereka.
"Ini terbukti DAP hanya mampu menang di kawasan yang majoriti Cina terutama di 22 kawasan Parlimen kawasan bandar yang didominasi oleh pengundi Cina.
"Nasib malang inilah yang berlaku kepada PAS sehinggakan wakil PAS tidak diberi tempat dalam kerajaan Pulau Pinang," ujarnya.
Tegasnya, bukan itu sahaja pembelaan terhadap Melayu dan Islam diabaikan di Pulau Pinang malah dakwaan DAP adalah parti inklusif adalah bohong semata mata.
"Mereka mempergunakan seorang dua orang Melayu terutamanya anak muda yang menyertai DAP kononnya parti itu parti inklusif.
"Sedangkan mereka itu adalah individu yang kecewa dan mencari jalan mudah untuk mendapat tempat dalam politik negara.
"Sebenarnya UMNO adalah parti yang inklusif dan dasar Barisan Nasional (BN) adalah dasar yang mengutamakan kesejahteraan rakyat yang berbilang kaum," katanya.
Justeru kata Dr Mohd Puad, orang Melayu khususnya anak muda jangan terperngkap dengan dakyah DAP sedangkan parti itu sendiri dilanda banyak krisis termasuk amalan rasuah dan ketidaktelusan dalam pentadbirannya.
Sejak selepas pilihan raya umum ke-13, DAP giat menggerakkan kempen mendaftarkan anak-anak muda Melayu dan menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan di kawasan orang Melayu.
Antaranya, menggerakkan kempen Impian Kelantan bagi membantu mangsa banjir di Kelantan serta menziarahi pelajar Malaysia di Jordan dan Mesir.
Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said baru-baru ini menyertai parti itu dalam satu majlis yang diadakan di Gua Musang, Kelantan.