Melayu jangan cepat panik melihat 'pergeseran' antara Mahathir, Najib - Annuar Musa

Hamzah Hamid
Jun 9, 2015 08:02 MYT
Annuar merumuskan, satu-satunya cara adalah kembali kepada fungsi dan formula kekuatan UMNO pada waktu gemilangnya iaitu memperjuangkan penyatuan. - Foto Astro AWANI/Hamzah Hamid
'Pergeseran' pendapat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin dilihat sebagai suatu yang menyulitkan dan merugikan UMNO namun itu tidak bermakna tiada jalan untuk membina kefahaman dan penyatuan, kata Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata demikian dalam forum Bicara Tokoh: Kupasan Isu-Isu Politik Semasa di Cheras anjuran Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia pada Isnin.
"Cabaran seorang Presiden diserang bukan perkara baharu. Malah dalam zaman Tun Mahathir pun ia berlaku.
"Tun Mahathir pernah berkata pada saya dahulu, seseorang yang berada di tempat tertinggi pasti akan diserang kerana dia memegang kuasa," katanya.
Annuar juga mengimbas bahawa Tun Mahathir pernah melalui perbezaan pendapat dan pertentangan dengan pelbagai pihak seperti Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kini dengan Najib.
"Cabaran penyatuan yang sedang dilakukan oleh pemimpin sekarang ini adalah warisan tinggalan Tun Mahathir kerana setiap kali berlaku sedemikian, orang Melayu terpecah kepada beberapa kumpulan.
"Bagaimanapun, kekuatan kita tidak akan bertambah sekiranya hanya mengikut individu, dan bukannya berdiri tegak di belakang parti," tegas beliau.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu juga berkata, beliau memahami kekeliruan yang dialami orang Melayu sekarang ini kerana beliau sendiri 'tersepit' antara rasa hormat yang tinggi buat Tun Mahathir, dan kepentingan menjaga saf parti bersama Najib.
"Dalam politik, saya orang 'ciptaan' Tun, saya terhutang budi pada beliau. Namun dalam menempuh keadaan semasa, saya perlu berada di belakang pimpinan Presiden sekarang ini.
"Bukan kita kurang menyayangi Tun Mahathir, tapi kita harus lebih sayang pada UMNO," katanya.
Annuar menambah, formula kesetiaan pada parti itu jugalah yang sering kali diajar oleh Tun Mahathir ketika beliau berkhidmat di bawah pentadbiran Perdana Menteri keempat itu.
"Tun Mahathir mungkin terbawa-bawa dengan caranya kerana itulah ketegasan sifatnya sejak dulu. Tapi itu tidak bermakna pendekatan Najib sekarang ini tidak relevan.
"Kita bimbang Tun Mahathir yang berada di luar rangka pentadbiran kerajaan sekarang ini tidak mempunyai maklumat yang tepat dalam sesuatu perkara," kata Annuar yang memberi contoh tentang isu 1MDB.
Annuar merumuskan, satu-satunya cara adalah kembali kepada fungsi dan formula kekuatan UMNO pada waktu gemilangnya iaitu memperjuangkan penyatuan.
"Yang penting, orang ramai jangan terlalu cepat menekan 'butang panik' hanya kerana terikut-ikut rentak musuh-musuh politik.
"Jangan korbankan seseorang pemimpin semata-mata kerana terpengaruh pada fitnah," pesan Annuar.
#Annuar Musa #Dr Mahathir #Mahathir Mohaman #Najib Razak #politik #Tun M #UMNO
;