Melaka Memilih: 'Bukan dua singa, tetapi tiga' - Nor Azman

Shuhada Abdul Kadir, Fareez Azman
Oktober 6, 2021 12:15 MYT
NOR AZMAN: Kalau Sungai Udang (Idris) maklumkan ada dua singa atas satu gunung, sebenarnya ada tiga singa, bukan dua. -Astro AWANI
MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor hari ini mendedahkan terdapat tiga individu pembuat keputusan yang berperanan merosakkan negeri Melaka.
Ia susulan kenyataan awal oleh ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron yang mendakwa terdapat ‘dua singa atas satu gunung’ yang membawa maksud dua pembuat keputusan dalam pentadbiran negeri.
Datuk Nor Azman Hassan berkata, kata putus perjalanan pentadbiran kerajaan negeri bukan dibuat oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sahaja.
Malah, dakwa Nor Azman, ada dua lagi figura yang turut campur tangan sebagai pembuat keputusan.
“Kalau Sungai Udang (Idris) maklumkan ada dua singa atas satu gunung, sebenarnya ada tiga singa, bukan dua.
“Tiga singa ini yang memainkan peranan merosakkan negeri Melaka.
"Saya tidak akan lakukan ini kalau bukan demi kepentingan rakyat,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Idris dan Azman antara empat ADUN yang ‘berpaling tadah’ setelah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan negeri sekali gus menyaksikan kerajaan dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali hilang majoriti.
Idris terdahulu mendakwa terdapat ‘dua singa atas satu gunung’ yang menyebabkan pelbagai perkara tidak terlaksana seolah-olah mengenepikan kepentingan rakyat.
Dalam pada itu, mengakui seperti disisihkan meskipun sebagai ADUN kerajaan menjadi antara punca beliau hilang kepercayaan dengan pimpinan Sulaiman.
“Saya wakil rakyat yang menang pada Pilihan raya Umum (PRU) lalu dengan majoriti 710 undi atas kepercayaan rakyat kepada saya.
“Saya lebih pentingkan kepentingan rakyat, tetapi kenapa saya disisihkan?
"Kepentingan diri mereka ini jelas tidak fikir soal rakyat.
"Biarlah nanti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan jalankan (siasatan) untuk semua korupsi ini,” katanya.
#Melaka Memilih #Sulaiman Md Ali #singa #Nor Azman Hassan
;