Media jangan terperangkap percaturan kuasa asing - Syed Ali

Astro Awani
November 4, 2016 00:40 MYT
SYED ALI: Kumpulan pemberi dana ini mahu menjahanamkan kerajaan sedia ada dan digantikan dengan satu sistem yang mengikut citarasa dan kehendak mereka.
Tindakan pengendali portal termasuk laman-laman sosial yang mendedahkan diri kepada percaturan pihak asing hanya memudaratkan masa depan negara.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengingatkan, pemberi dana pasti mempunyai agenda atau muslihat dengan memberikan bantuan percuma berkenaan.
"Dengan istilah mudah, kumpulan pemberi dana ini mahu menjahanamkan kerajaan sedia ada dan digantikan dengan satu sistem yang mengikut citarasa dan kehendak mereka.
"Bersekongkol dengan pihak asing khususnya yang menyalurkan dana dan bantuan tertentu merupakan perbuatan yang dikhuatiri akan meranapkan kesuburan sistem demokrasi," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Kumpulan itu kata Syed Ali termasuk pertubuhan yang berselindung di sebalik kebebasan bersuara mempunyai perancangan untuk mencaturkan sistem politik di negara ini dengan mengikut telunjuk mereka.
"Inilah matlamat mereka, serangannya untuk menjahanamkan sistem politik pilihan rakyat menerusi amalan demokrasi dengan menggunakan pengendali portal berita yang boleh diperalatkan.
"Kebanyakan pengendali portal berita pro-pembangkang lebih ghairah mencetuskan isu-isu yang membabitkan soal kaum, agama dan sosial.
"Sebenarnya, isu beberapa portal berita pro-pembangkang yang dikatakan menerima tajaan atau dana daripada pihak luar bukan isu baru, malah dikatakan sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu," tegasnya.
Ujarnya, Kerajaan terutama pihak berkuasa perlu melihat kepada sejauh mana penglibatan mereka untuk merosakkan perpaduan rakyat dan ketenteraman negara.
"Media pro-pembangkang yang didapati mempunyai rangkaian antarabangsa untuk meruntuhkan kerajaan secara tidak demokratik perlu dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya. Kita tidak mahu kesudahannya rakyat yang menjadi mangsa keadaan.
"Pihak luar khususnya kumpulan berkepentingan terutama yang berpengkalan di Barat sememangnya mahu merosakkan sistem demokrasi di Malaysia yang selama ini memberi peluang kepada rakyat menentukan pembentukan sebuah kerajaan menerusi amalan pilihan raya.
"Pemberi dana asing ini mempunyai agenda tersendiri untuk merosakkan sistem politik dan sosial di negara ini, mereka mungkin mempunyai tujuan yang lebih jauh daripada sekadar mencaturkan permainan politik," tegasnya.
Sehubungan itu Syed Ali berharap, rakyat tidak akan terpedaya dengan serangan yang dilakukan portal berita pro-pembangkang terhadap kerajaan terutamanya kepada pemimpin UMNO.
"Sama ada serangan menerusi laman-laman sosial mahupun perhimpunan yang dikaitkan dengan pro-pembangkang, rakyat perlu berwaspada kerana semua itu adalah perangkap yang dipasang oleh pihak berkepentingan," tegasnya.
Dalam perkembangan berasingan, Syed Ali menasihatkan pemimpin politik supaya tidak sengaja memainkan sentimen fitnah termasuk isu peribadi dalam usaha meraih sokongan atau menjatuhkan lawan.
"Jangan kita sengaja mendedahkan aib seseorang secara melampau, mereka cerita berbau fitnah hanya kerana mahu dilihat sebagai pemimpin popular kerana perbuatan seperti itu amat tidak baik dan juga sangat keji," jelasnya.
#Media #Portal #PRU #Syed Ali