MCA tubuh dua jawatankuasa untuk transformasi
Bernama
Mei 19, 2018 17:09 MYT
Mei 19, 2018 17:09 MYT
Anggota Jawatankuasa Pusat MCA bersetuju untuk menubuhkan dua jawatankuasa dalam usaha melakukan pembaharuan dan transformasi parti untuk menjadi lebih baik, kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata dua jawatankuasa itu ialah Jawatankuasa Pemandu Pemilihan Parti dan Jawatankuasa Pembaharuan.
"Jawatankuasa Pemandu Pemilihan Parti akan dipengerusikan Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan, ia telah dipertangggungjawabkan untuk segera menjalankan proses perlu bagi pemilihan parti MCA," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA di Ibu Pejabat MCA di sini, hari ini.
Sementara itu, Jawatankuasa Pembaharuan yang dipengerusikan Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong akan termasuk Biro Penganjur, Biro Publisiti. Biro Pendidikan Politik, Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Polisi (INSAP), Pemuda MCA dan Wanita MCA.
"Jawatankuasa Pembaharuan ini akan meneliti garis politik MCA dan menerokai pelbagai syor, seperti mentransformasikan MCA sebagai parti politik pelbagai kaum dan banyak lagi. MCA menghormati keputusan pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) .
"Kami (MCA) akan memainkan peranan efektif dalam pembangkang... pilihan raya ini juga membuka era baharu bagi sistem dua parti, matlamat yang semua orang harapkan, dan menjadi aspirasi MCA bahawa negara kita terus maju," katanya.
MCA harap kerajaan baharu Pakatan Harapan akan dapat menunaikan janji mereka dan MCA akan memantau pentadbiran kerajaan baharu, kata Liow.
"Kami (MCA) tahu masalah yang kami hadapi dan akan perkuatkan diri kami supaya kami dapat melakukan yang terbaik untuk membetulkannya. MCA akan bekerja keras untuk melakukan pembaharuan parti... kedua-dua jawatankuasa akan mengadakan sesi percambahan minda dalam waktu terdekat," katanya.
Katanya MCA sedang mendapatkan maklum balas daripada orang awam dan anggota MCA dan menurutnya laporan akan disediakan berdasarkan maklum balas diterima dan dibincangkan oleh anggota jawatankuasa.
-- BERNAMA