MCA tegas tidak menyokong Himpunan Rakyat Bersatu
Bernama
September 15, 2015 08:50 MYT
September 15, 2015 08:50 MYT
MCA menyatakan ia tegas dengan pendirian tidak menyokong perhimpunan 'Rakyat Bersatu' yang dijadual berlangsung Rabu ini, sebaliknya ia memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi negara.
Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pendirian parti itu penting untuk memastikan hubungan antara kaum di negara ini berjalan dengan baik.
Di samping itu, katanya rakyat hendaklah dinasihatkan agar tidak mengambil ringan soal hubungan kaum dalam negara ini.
"Kita telah menyuarakan pendirian kita dan pada ketika ini kita mahukan rakyat menumpukan usaha kepada pemulihan ekonomi negara, mencergaskan kembali ekonomi.
"Ini kerana sekarang kita sedang menghadapi pelbagai cabaran dari segi pertumbuhan ekonomi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program myLesen di sini, Isnin.