MCA sasar tawan sekurang-kurangnya empat kerusi DUN di Negeri Sembilan
Bernama
Oktober 31, 2016 08:00 MYT
Oktober 31, 2016 08:00 MYT
MCA menyasarkan untuk menawan semula sekurang-kurangnya empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata ia juga sebagai menyahut Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Pengerusi Barisan Nasional Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Kerusi berkenaan adalah DUN Chennah, Repah, Nilai dan Chuah.
"Sasaran empat kerusi itu adalah sasaran minimum tetapi kalau boleh kita mahukan kemenangan yang lebih besar kerana di negeri ini kita ada dua Parlimen dan 10 DUN (yang ditandingi parti sebelum ini). Oleh itu kita akan bekerja keras dan Menteri Besar juga sudah bagi KPI kepada kita dan akan pastikan kita berikan sebaik mungkin apatah lagi dengan adanya sokongan kuat daripada Pengerusi BN negeri ini.
"Kita sekarang kosong, kita akan pastikan kita pecahkan 'telur' ini sekali gus menawan lebih banyak kerusi di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan MCA Negeri Sembilan di sini pada Ahad.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong.
"Kami bekerja keras namun rahsia kejayaan adalah bersama dengan rakyat, sentiasa ingat kerajaan yang dipilih rakyat jadi kita mesti sentiasa melaksanakan dasar-dasar yang baik untuk rakyat.
Katanya dasar Barisan Nasional mempunyai kesinambungan yang baik yang mampu menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
Beliau juga mengingatkan semua golongan masyarakat terutama ahli perniagaan agar tidak memperlekehkan kerajaan apabila mereka sudah berjaya dalam usaha mereka kerana kejayaan itu adalah hasil dasar BN yang begitu baik.
Sementara itu, Mohamad menyifatkan pelan transformasi MCA yang dibuat oleh Liow dan Wee dapat dijelaskan dan diterjemahkan dengan baik.
Katanya MCA sekarang nampaknya amat mantap dan di Negeri Sembilan pula parti itu dibantu Pengerusi MCA Negeri Sembilan Datuk Seri King Lim Chin Fui bersama rakan-rakannya yang lain. -- BERNAMA