MCA sambut baik pelantikan Ismail Sabri sebagai TPM
Astro Awani
Julai 7, 2021 17:40 MYT
Julai 7, 2021 17:40 MYT
KUALA LUMPUR: MCA menyambut baik pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon berkata, MCA yakin pelantikan ini akan mengukuhkan lagi pentabiran kerajaan.
"MCA mengalu-alukan dan menyokong pelantikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri serta pelantikan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan yang turut mengetuai Kluster Keselamatan sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri hari ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
MCA menyifatkan kedua-dua pemimpin itu mempunyai pengalaman luas dan mampu memberi sumbangan yang memanfaatkan rakyat serta negara.
"MCA akan terus bekerjasama dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta semua anggota Kabinet untuk memberi tumpuan sepenuhnya dalam usaha memerangi pandemik COVID-19, memulihkan semula ekonomi negara dan membantu rakyat berdepan waktu sukar akibat COVID-19," ujarnya.
#Hishammuddin Hussein
#ismail sabri yaakob
#Chong Sin Woon
#MCA
#TPM
#Perdana Menteri
#ekonomi
#Timbalan Perdana Menteri
#kabinet
#COVID-19
#pandemik