MCA Perlis kemuka tiga nama bakal calon DUN Indera Kayangan
Bernama
Ogos 1, 2017 15:25 MYT
Ogos 1, 2017 15:25 MYT
MCA negeri Perlis sebulat suara mempertaruhkan tiga nama untuk dipilih bertanding bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan dalam pilihan raya umum ke-14 ( PRU14).
Naib Pengerusinya, Khaw Hock Kong berkata nama-nama tersebut merupakan individu yang diyakini dapat memenangi semula kawasan DUN berkenaan yang jatuh ke tangan pembangkang dalam PRU13.
"Pihak MCA Perlis yakin mana-mana antara nama mereka yang terbabit itu mampu menjayakan misi menawan kembali Indera Kayangan berdasarkan penerimaan pengundi khususnya masyarakat keturunan Cina di kawasan berkenaan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Pada PRU13, calon PKR Chan Ming Khai mengalahkan calon BN daripada MCA, Dr Por Choo Chor dengan majoriti 1,092 undi.
Khaw yang juga anggota DUN Titi Tinggi merangkap Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri yakin misi menawan semula Indera Kayangan akan lebih mudah melalui sokongan yang bakal diberikan oleh rakan-rakan daripada UMNO dan MIC.
"Melihat kepada situasi politik semasa juga menggambarkan sokongan rata-rata masyarakat Cina terhadap parti semakin kukuh, maka kita yakin mampu menebus kesilapan lalu dan memastikan DUN Indera Kayangan dimenangi MCA di samping mengekalkan kerusi DUN Titi Tinggi," tambahnya.
Di Perlis, kerusi parlimen iaitu Arau, Kangar dan Padang Besar dikuasai BN sementara bagi DUN, 13 dimiliki kerajaan dengan masing-masing satu dipegang PKR dan PAS.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional
#Dewan Undangan Negeri
#Indera Kayangan
#Khaw Hock Kong
#MCA
#Perlis
#pilihan raya umum
#PRU14