MCA, MIC mungkin kekal bersama BN tetapi...

Astro Awani
Jun 24, 2018 14:25 MYT
MIC dan MCA masih setia kepada BN tetapi BN sendiri mesti mengubah pendekatannya. - Gambar fail
MIC akan terus setia kepada Barisan Nasional (BN) dengan satu kesedaran dan keperluan untuk mengubah pendekatannya kepada rakyat.
Ketua Pemuda MIC, Datuk C.Sivarraajh menegaskan, ia faktor penting untuk memastikan BN terus relevan kepada rakyat sekali gus mendepani cabaran pasca keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Kami masih setia kepada BN tetapi BN sendiri mesti mengubah pendekatannya.
"Saya serahkan isu ini kepada kepemimpinan parti," katanya dalam satu pesanan WhatsApp kepada Astro AWANI di sini hari ini.
BACA: MIC, MCA bersama BN lakukan perubahan
BACA: Gerakan umum keluar Barisan Nasional
Sivarraajh diminta mengulas pendirian MIC susulan keputusan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pada Sabtu yang mengumumkan keluar daripada BN untuk menjadi sebuah parti bebas yang konstruktif.
Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat Gerakan (CGC) mengambil kira
senario politik pasca PRU14 serta sentimen akar umbi.
Keputusan Gerakan itu menyaksikan BN kini hanya bertahan dengan tiga parti iaitu UMNO, MCA dan MIC
berbanding 13 parti komponen sebelum PRU14.
Sebelum ini, Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, parti itu akan terus bersama BN dalam usaha melakukan perubahan bagi menghadapi cabaran politik pada masa depan.
Tegasnya, parti komponen BN perlu sepakat membuat perubahan dengan mengambil kira kelemahan yang ada untuk terus kekal relevan.
Sementara itu,Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai di dalam sebuah portal dilaporkan berkata, kebimbangan mereka adalah strategi untuk memperbaharui parti yang sudah berusia 69 tahun dan bukannya isu meninggalkan BN.
Jelasnya, jawatankuasa pembaharuan parti yang diketuai oleh timbalannya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong akan membuat laporan mengenai arah baharu parti itu.
Tiong Lai berkata laporan itu akan dikemukakan kepada jawatankuasa pusat MCA dan penentuan langkah seterusnya daripada perhimpunan agung tahunan parti yang dijadualkan pada awal Disember depan.
Nada sama diberi jurucakap publisiti MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker di dalam satu kenyataan yang memberitahu parti itu komited untuk kekal dalam BN selain tiada perancangan meninggalkan gabungan itu.
Lian Ker berkata, kelangsungan BN kini bergantung kepada kepimpinan baharu yang dibentuk selepas pemilihan parti komponen.
Katanya, BN perlu kekal bersatu dan tidak bertelagah sesama sendiri kerana gabungan berkenaan
sudah terbukti mencipta pelbagai kejayaan sejak sekian lama.
Pada PRU14, 9 Mei lepas, MIC hanya memenangi dua kerusi Parlimen iaitu di Tapah dan Cameron Highlands manakala MCA satu kerusi di Ayer Hitam.
#GERAKAN #Liow Tiong Lai #MCA #MIC #S Subramaniam #UMNO #Wee Ka Siong
;