MCA jangan celupar, campur 'urusan' UMNO - Syed Ali Alhabshee

Astro Awani
November 19, 2014 19:11 MYT
SYED ALI ALHABSHEE: MCA jangan celupar, campur 'urusan' UMNO - Gambar fail
Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengingatkan MCA jangan mencampuri ‘urusan UMNO’ kerana UMNO selama ini tidak pernah campur tangan dalam urusan parti itu.
Ketua UMNO Bahagian Cheras itu menegaskan, UMNO selama ini mengambil sikap berdiam diri dan banyak bersabar ketika pemimpin MCA secara terbuka mencetuskan isu sensitif membabitkan orang Melayu.
"Saya minta pemimpin MCA jangan celupar, jangan campur urusan persidangan UMNO kerana tidak ada kena mengena dengan mereka," ujarnya ketika memetik blog umnobahagiancheras.blogspot.com
Katanya, daripada MCA cuba ‘mengatur’ perjalanan persidangan UMNO lebih baik terlebih dahulu ‘membersihkan’ parti itu pada kacamata pengundi Cina.
"Kita (UMNO) tahu kerja kita, tak payah MCA nak tunjuk pandai, sepatutnya MCA berusaha kembalikan sokongan masyarakat Cina kepada mereka," tegasnya.
Beliau menambah, perwakilan UMNO berhak bercakap dan melontar apa jua pandangan mereka pada perhimpunan parti yang akan berlangsung 25 November ini.
"Persidangan itu merupakan medium terbaik perwakilan UMNO memberikan pandangan, kritikan dan bersuara menyatakan harapan serta pendirian parti demi masa depan orang Melayu," katanya.
Katanya, pemimpin UMNO tahu batasnya apabila berhujah kerana sentiasa berpegang kepada semangat permuafakatan dalam Barisan Nasional (BN) yang turut dianggotai MCA.
"Jangan nak ajar UMNO, kita berhak bercakap demi kepentingan orang Melayu," ujarnya sambil menegaskan UMNO tidak pernah campur tangan setiap kali MCA mengadakan persidangannya.
Syed Ali mendakwa pemimpin MCA seperti takut kepada bayang-bayang dan parti itu sama sekali tidak wajar terlalu curiga terhadap UMNO.
Beliau menyifatkan Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker sebagai celupar apabila mengingatkan agar perwakilan UMNO tidak beretorik dan menyinggung perasaan rakyat ketika perhimpunan agung akan datang.
Ti Lian Ker dalam kenyataannya baru-baru ini dipetik sebagai berkata perhimpunan agung UMNO diikuti secara meluas bukan sahaja oleh orang Melayu.
Pemimpin MCA itu berkata, kenyataan yang menyinggung persaan bukan hanya memberi kesan kepada UMNO tetapi juga kepada komponen BN.
"Dia (Ti Lian Ker) tu siapa, pandai-pandai nak beri amaran kepada UMNO, tak payah nak jadi jaguh," tegasnya.
"Mengapa MCA bimbang apa yang akan disuarakan perwakilan UMNO, sedangkan mereka sendiri pernah membangkitkan isu senstif yang menyinggung hati orang Melayu," jelasnya.
Tambah beliau, MCA sepatutnya menerima apa sahaja pandangan yang diluahkan oleh perwakilan UMNO secara berlapang dada demi kepentingan BN.
"Mengapa takut ditegur, mengapa bimbang dikritik, jika MCA lemah dan gagal pikat hati orang Cina, itu salah mereka," ujarnya.
Beliau mempersoalkan apakah yang telah dilakukan MCA untuk menarik semula sokongan pengundi Cina kepada BN dengan mengambilkira keputusan PRU yang lalu.
Kata Syed Ali lagi, perwakilan UMNO akan berhujah dan berbahas dalam konteks perjuangan dan masa depan orang Melayu.
Menurut beliau, apa sahaja isu yang menyentuh kedudukan dan masa depan orang Melayu dan agama Islam tetap menjadi agenda utama UMNO.
"Kalau terkena batang hidung MCA, terimalah hakikat dan perlu dijelaskan UMNO merupakan tulang belakang kekuatan BN," tegasnya.
Sehubungan itu katanya, pemimpin MCA tidak sepatutnya berasa curiga dan bersangka buruk terhadap keikhlasan pemimpin UMNO.
#agenda #BN #MCA #parti #perwakilan #retorik #UMNO
;