MCA hantar surat rasmi bubar BN pada masa sesuai
Firdaus Alauddin
Disember 3, 2018 23:07 MYT
Disember 3, 2018 23:07 MYT
MCA akan menghantar satu surat rasmi berhubung keputusan resolusi parti itu yang mahu membubarkan Barisan Nasional (BN) dan membentuk pakatan baharu.
Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata surat itu yang akan dihantar Setiausaha Agung parti itu, Datin Chew Mei Fun pada masa sesuai.
"Sekiranya MCA membuat keputusan untuk melakukan reformasi atau menubuhkan perikatan baharu, keputusan akar umbi ataupun resolusi parti akan dihantar melalui surat.
“Ini bukanlah bidang kuasa saya, Setiausaha Agung akan membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Bagaimanapun beliau berkata, MCA tidak akan membelakangkan BN berhubung keputusan tersebut.
Justeru, Lian Ker berkata, tidak timbul isu parti itu mewujudkan pakatan baharu bersama MIC.
"Tidak juga timbul isu wujudkan pakatan bersama MIC atau belakangkan UMNO dan sebagainya. Ini semua tidak timbul dalam minda kita," katanya.
Tambah, Lian Ker terdapat ahli parti atau pihak dari luar parti yang mahu melaga-lagakan MCA dan UMNO dan menggesa semua pihak mendekati isu ini secara berhati-hati.
Terdahulu, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sebarang keputusan untuk bubarkan gabungan parti itu perlu dicapai secara konsensus, bukannya semata-mata cadangan satu komponen sahaja.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata kesemua pihak harus menghormati prinsip asas penubuhan BN, termasuk pendapat empat lagi parti komponen termasuk UMNO dan MIC.
#Barisan Nasional
#bubar
#Dewan Rakyat
#Khendak
#MCA
#MIC
#pengundi
#Presiden MCA
#Presiden UMNO
#Semasa
#UMNO
#Zahid Hamidi