MCA, GERAKAN ibarat 'penumpang berhias' dalam BN - Penganalisis

Harits Asyraf Hasnan
Februari 9, 2016 12:46 MYT
Menurut Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, Barisan Nasional (BN) sukar untuk mengembalikan kepercayaan kaum Cina kepada parti itu bagi berhadapan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. - Gambar Fail
Parti MCA dan GERAKAN ibarat 'penumpang berhias' dalam 'bas' Barisan Nasional (BN) apabila kedua-dua parti itu dilihat seolah-olah tidak berbuat apa-apa dalam memenangi hati pengundi Cina, kata Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.
Jelas beliau, parti pembangkang DAP sebagai pesaing dilihat lebih kuat dalam memberi tentangan di mana MCA dan GERAKAN terpaksa menggunakan medium Kerajaan untuk berkempen.
"MCA dan GERAKAN ini seperti hanya penumpang sahaja...penumpang berhias. Tidak banyak berbuat apa-apa, hanya melaung. Lawan mereka (DAP) itu kuat, sebab itu mereka (menggerakkan kempen) menerusi media Kerajaan.
"Sebenarnya mereka ini sudah jadi macam penumpang, dulu bawa bas sekarang ini jadi penumpang...itu pun bukan duduk depan, tapi duduk belakang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Katanya, BN sukar untuk mengembalikan kepercayaan kaum Cina kepada parti itu bagi berhadapan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
"Saya rasa hasrat itu sukar untuk dicapai kerana tindakan BN masih lagi jauh ketinggalan kalau dibandingkan dengan gerakan pendaftaran undi yang dilakukan parti pembangkang.
"Saya lihat kekuatan BN perlu ditingkatkan. Itu pun saya belum pasti kerana perjuangan BN itu bukan lagi soal undi tetapi soal kaum Cina yang melihat diri mereka tertindas, dikelaskan sebagai kelas kedua dan sebagainya. Ini semua memainkan peranan penting dalam perjuangan persepsi," katanya.
Justeru, Shamsul mencadangkan supaya semua parti komponen di dalam BN melakukan transformasi luar biasa bagi menawan semula hati pengundi Cina di negera ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang mahu pengundi Cina kembali mengundi BN.
Walaupun Ahmad Zahid tidak menyatakan secara khusus peristiwa berkaitan kenyataan tersebut, namun ia dipercayai merujuk kepada 'tsunami Cina', apabila masyarakat Cina di negara ini dikatakan telah mengundi menentang Kerajaan dalam PRU lalu.
#Barisan Nasional #GERAKAN #Institut Kajian Etnik #MCA #pilihan raya umum #Professor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin #UMNO #Universiti Kebangsaan Malaysia
;