MCA beri bayangan tidak sertai PN
Hasimi Muhamad
September 7, 2020 16:47 MYT
September 7, 2020 16:47 MYT
MCA memberi bayangan tidak termasuk dalam lima parti yang terlibat dalam permohonan untuk mendaftarkan Perikatan Nasional (PN).
Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong ketika ditanya mengenai perkara itu, enggan mengulas lanjut namun menegaskan parti itu sebahagian daripada komponen Barisan Nasional (BN).
“Saya cuma hendak kata dalam konteks Barisan Nasional, ia mengandungi UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Sabah (PBS)... itu sahaja.
“Jadi, kita sebahagian daripada kerajaan memerintah iaitu kerajaan Perikatan Nasional,” katanya, di sini pada Isnin.
Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan berkata demikian selepas merasmikan platform e-dagang pelancongan runcit pertama Malaysia, ‘shopMYairport’, di sini.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN memutuskan untuk tidak menyertai PN secara rasmi, sebaliknya akan terus memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama dengan PAS dan parti komponen BN yang lain.
Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, pula dilaporkan berkata, lima parti termasuk komponen BN berada dalam jawatankuasa untuk mendaftarkan PN, bagaimanapun nama parti terbabit belum didedahkan.
Rentetan daripada itu, MIC kemudian mengesahkan menjadi salah sebuah parti yang mendaftarkan PN bersama PAS, Solidariti Tanah Airku Sabah (STAR) serta parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bagaimanapun, pada 28 Ogos lalu Setiausaha Agungnya, Datuk M Asojan Muniandy mengumumkan MIC menarik diri daripada menyertai PN.
Sementara itu, mengulas mengenai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Ka Siong berkata jentera parti MCA sudah bersiap sedia.
“Kita telah bersiap sedia untuk berdepan dengan PRN Sabah... dan tidak kiralah sama ada dalam konteks BN ataupun Perikatan Nasional.
“Sekarang kita kena bekerja sebagai satu kumpulan dan kita telah bersiap sedia untuk menghadapi apa jua cabaran yang akan datang.
“Jadi kita tunggu sahajalah pengumuman... paluan gendang sudah pun bermula. Maksudnya, kita kena siap siaga lah. Pengadil sudah berada di tengah padang jadi kita kena berdepan,” katanya.
Sebelum ini, BN dilaporkan yakin akan menang dalam PRN Sabah pada 26 September ini.
#Barisan Nasional
#BN
#kerajaan
#MCA
#MIC
#Muafakat Nasional
#Pakatan Nasional
#PAS
#PBS
#pilihan raya
#presiden
#Wee Ka Siong
#Zahid Hamidi