MB Terengganu kini naib presiden Pas yang baharu

Astro Awani
Jun 21, 2019 16:58 MYT
Selain Ahmad Samsuri (gambar), dua lagi naib presiden Pas bagi sesi 2019 hingga 2021 ialah Idris Ahmad dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. - Gambar fail
Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menduduki kerusi naib presiden Pas yang baharu setelah salah seorang penyandang kerusi tersebut, Datuk Iskandar Samad tidak menjawab surat pengesahan pencalonannya.
Mengumumkan perkara berkenaan, Pengarah Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat Dr Mohd Fuad Mohd Salleh berkata, empat calon layak untuk bertanding kerusi naib presiden namun Iskandar tidak mengambil tindakan seperti yang sepatutnya.
Dr Mohd Fuad berkata, tiga naib presiden Pas bagi sesi 2019 hingga 2021 ialah Dr Ahmad Samsuri, Idris Ahmad dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
"Untuk jawatan naib presiden, hanya tiga orang yang menjawab untuk bertanding. Beliau bukan tarik diri cuma cara macam tak nak bertanding," katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
BACA: Pas tidak tuntut jadi ketua kerjasama bersama UMNO - Abdul Hadi
Muktamar Pas ke-65 yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa), Bandar Indera Mahkota, Kuantan itu dirasmikan oleh presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengekalkan jawatannya selepas menang tanpa bertanding.
BACA: Rombongan pemimpin kanan UMNO hadiri Muktamar Pas
#Abdul Hadi Awang #Ahmad Samsuri Mokhtar #Idris Ahmad #Iskandar Samad #Mohd Amar Nik Abdullah #Muktamar Pas #Naib Presiden #PAS #pencalonan #surat pengesahan
;