MB Selangor: Lebih satu nama calon dicadangkan - Azmin
Sinar Harian
Jun 2, 2018 13:06 MYT
Jun 2, 2018 13:06 MYT
Senarai nama akhir calon Menteri Besar Selangor baharu selesai diteliti untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Perkara itu disahkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata, sebelum itu pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan pimpinan parti dan memaklumkan secara terus kepada pimpinan Pakatan Harapan (Harapan) Selangor berhubung senarai nama berkenaan.
"Malam tadi (semalam), saya turut mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai senarai nama tersebut.
"Kita dah kenal pasti beberapa nama dan meneliti sehabis baik untuk dipersembahkan kesemua nama calon itu kepada Tuanku," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri di kawasan Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa di Masjid Jamiul Huda, di sini, hari ini.
Ketika mengulas mengenai jumlah senarai nama calon yang akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor, ADUN Bukit Antarabangsa itu bagaimanapun enggan mendedahkannya.
"Kita dah ada beberapa nama... Yang pastinya, lebih dari satu," katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung kemampuan Adun Sungai Tua, Amirudin Shari yang dikatakan calon terdekat bakal menggantikan beliau sebagai menteri besar, Mohamed Azmin hanya tersenyum dan enggan mengulas lanjut.
Sebelum ini, antara nama lain yang turut disebut-sebut bakal pengganti menteri besar Selangor adalah ADUN Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei dan juga ADUN Seri Setia, Shaharuddin Badaruddin.
#Amirudin Shari
#Azmin Ali
#calon menteri besar
#Menteri Besar Selangor
#senarai nama
#Shaharuddin Badaruddin
#Shuhaimi Shafiei
#Sultan Sharafuddin Idris Shah