KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menawar diri bertanding jawatan Naib Presiden pada Pemilihan UMNO kali ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang menghantar borang pencalonan ke Ibu Pejabat UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL) jam 3 petang tadi.

Katanya, beliau mengambil keputusan itu atas keinsafan dan kesedaran bahawa imej dan prestasi UMNO semakin merosot selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Atas kesedaran itu, saya berhasrat membantu serta mencurahkan khidmat bakti kepada parti sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti terbesar orang Melayu ini.

“Mudah-mudahan bersandarkan kepada usaha, doa dan harapan, saya mampu untuk melakukan sesuatu demi kelangsungan perjuangan parti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, beliau memohon akar umbi UMNO untuk menilai pengalaman dan sumbangan yang telah beliau berikan kepada parti selama ini, khususnya ketika mencetuskan kemenangan pertama parti di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, selepas PRU14 yang lalu.

“Kebangkitan di Cameron Highlands itu kemudiannya diteruskan di PRK lain termasuklah di Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis, Chini dan Slim River.

“UMNO Pahang banyak membantu parti ketika 22 bulan pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan serta membantu kemenangan parti dalam Pilihan Raya Negeri di Sabah, Melaka dan Johor,” katanya.

Katanya, terbaharu, UMNO Pahang berjaya bangkit dengan pantas selepas PRU15 dengan mencipta kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang menjadi benteng terakhir parti ketika tsunami politik melanda negara, walaupun  ramai menjangkakan BN tewas teruk seperti yang berlaku di Padang Serai.

“Pada PRU15, UMNO Pahang berupaya mempertahankan 17 kerusi DUN yang merupakan bukti keupayaan dan kemampuan UMNO Pahang meskipun tsunami melanda negara.

“Ekoran daripada kejayaan-kejayaan ini serta hasil perbincangan bersama rakan-rakan perjuangan, mereka telah meminta saya untuk meneruskan khidmat bakti dan berkongsi formula kemenangan ini kepada parti dengan cara yang lebih bermakna iaitu melalui jawatan Naib Presiden,” katanya.