MB mohon perkenan Sultan untuk bubar DUN di setiap negeri

Astro Awani
April 6, 2018 18:19 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba untuk mengumumkan pembubaran Parlimen semasa pengumuman khas di Bangunan Perdana Putra hari ini. - fotoBERNAMA
Sebaik sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan parlimen akan dibubarkan esok (Sabtu), beberapa menteri besar mengesahkan akan mengadap sultan masing-masing bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Utusan Online melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi mendapatkan perkenan membubarkan DUN Negeri Sembilan petang ini.
Mohamad dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, beliau akan menghadap Tuanku Muhriz pada pukul 4.30 petang ini
Selain Mohamad, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga akan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Pasir Pelangi di sini untuk nemohon perkenan pembubaran DUN Johor.
Mohamad Khaled akan mengeluarkan kenyataan media berhubung pembubaran DUN Johor.
Sementara Bernama melaporkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abd Kadir akan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pagi esok untuk memohon perkenan membubarkan DUN pada hari yang sama.
BACA: Parlimen dibubar esok
BACA: Parlimen bubar esok, ini apa yang anda perlu tahu
BACA: Kalam akhir PM Najib bagi Parlimen ke-13
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob akan bertolak ke Kuala Lumpur petang ini bagi menghadap Sultan Muhammad V yang juga Yang di-Pertuan Agong bagi urusan pembubaran DUN Kelantan serentak dengan Parlimen.
DUN Sabah juga akan dibubarkan esok selepas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mendapat perkenan daripada Yang diPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Di Kedah, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah pula dijangka menghadap Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah esok bagi urusan pembubaran DUN negeri tersebut.
DUN Melaka dan Perlis juga akan dibubarkan serentak dengan parlimen esok selepas mendapat perkenan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka dan Sultan Perlis.
DUN Pahang dijangka akan dibubarkan esok selepas Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob menghadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi mendapat perkenan baginda untuk pembubaran.
Manakala Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan segera menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapatkan perkenan baginda untuk membubarkan DUN Selangor.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng dijangka bertemu Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas minggu depan bagi mendapatkan persetujuan tarikh pembubaran DUN Pulau Pinang.
#Ahmad Bashah Md Hanipah #Johor Darul Takzim #Kedah #Kelantan #Lim Guan Eng #Malaysia #Malaysia Memilih #Mohamed Azmin Ali #Negeri Sembilan #Perak #PRU14 #Selangor #Sultan #Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah #Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
;