MB Kelantan selesai bentang pindaan enakmen hudud, ADUN UMNO sokong

Irwan Muhammad Zain
Mac 18, 2015 13:38 MYT
Sidang DUN Kelantan ditangguhkan, MB selesai bentang pindaan enakmen hudud
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob selesai membentangkan Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 yang mengandungi hukum hudud di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.
Rang Undang-undang setebal 47 muka surat itu dibentangkan oleh Ahmad pada jam 11 pagi tadi dan turut mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, perbahasan pindaaan enakmen tersebut ditangguhkan hingga ke pagi esok.
Jenis-jenis kesalahan hudud yang termaktub dalam pindaan itu ialah:
  1. Sariqah (mencuri)
  2. Hirabah (orang yang merampas harta orang lain dengan kekerasan)
  3. Zina termasuk liwat
  4. Qazaf (membuat tuduhan zina atau liwat)
  5. Syurb (minum arak atau memabukkan)
  6. Irtidad (murtad)
Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 yang dibentangkan di DUN Kelantan hari ini
Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993
Mengikut Rang Undang-undang tersebut, enakmen itu hanya terpakai kepada orang Islam yang mukalaf iaitu seseorang yang sudah mencapai umur 18 tahun dan sempurna akalnya.
Dalam ucapan itu, Ahmad memberi jaminan bahawa undang-undang tersebut tidak akan dikuatkuasakan ke atas orang bukan Islam.
"Di sini saya nak jelaskan bahawa Kanun Jenayah II adalah terpakai kepada orang Islam sahaja iaitu orang Islam yang mukalaf yang melakukan kesalahan di bawah Kanun ini, di negeri ini.
"Ini bermakna, Kanun ini sama sekali tidak terpakai ke atas orang bukan Islam," tegasnya.
Selain itu, pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 yang dibentangkan di DUN Kelantan hari ini menetapkan kesalahan murtad boleh dikenakan hukuman penjara jika sabit kesalahan.
Murtad yang disebut sebagai irtidad atau riddah dalam pindaan enakmen itu menegaskan sesiapa secara sukarela tanpa paksaan dengan sengaja atau disedarinya melakukan apa-apa perbuatan atau mengungkapkan apa-apa perkataan yang menjejaskan atau berlawanan dengan aqidah Islam adalah melakukan irtidad.
“Dengan syarat bahawa perbuatan itu dilakukan atau perkataan itu disebutkan dengan niat dengan sukarela dan dengan pengetahuan dan tanpa apa-apa paksaan oleh mana-mana orang atau keadaan,” menurut Bahagian 22 pindaan enakmen tersebut.
Selain itu, dalam ucapannya juga Ahmad berkata, pihak yang masih mengkritik enakmen hudud yang dibentangkannya hari ini adalah “golongan yang tidak beriman”.
Beliau merujuk kepada pihak yang mendakwa enakmen jenayah syariah itu sebagai “zalim dan tidak berperikemanusiaan”.
"Tuduhan yang menyatakan undang-undang ini zalim dan tidak berperikemanusiaan adalah tuduhan liar yang terbit dari hati orang-orang yang tidak beriman," katanya.
Pindaan yang dibentangkan hari ini memansuhkan peruntukan yang memberi pilihan kepada orang bukan Islam, sama ada ingin dibicarakan mengikut undang-undang syariah atau undang-undang sivil.
Selain itu, ia turut meminda peruntukan yang memberi pengecualian dari hukum hudud, termasuk peruntukan untuk tidak memotong tangan seseorang pencuri yang sudahpun cacat di sebelah tangan, dan sekiranya pesalah itu memperoleh hak mengikut undang-undang ke atas harta yang dicuri itu, sebelum penghakiman dibuat.
Pengecualian yang dibuat hari ini adalah sama seperti yang terkandung dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syraiah (Hudud dan Qisas) yang dibentangkan oleh PAS ketika mentadbir Terengganu pada sidang DUN negeri itu pada 2003.
Pindaan ketiga yang dibuat ialah beban bukti bagi mereka yang melaporkan kes zina dan liwat, di mana di bawah enakmen yang sedia ada, sesiapa yang membuat tuduhan zina atau liwat tanpa empat orang saksi boleh dikenakan hukum qazaf.
Rang undang-undang baru ini juga membolehkan penuduh memberi keterangan melalui syahadah atau bayyinah (keterangan yang jelas) dan kebal daripada hukuman jika kemudiannya ditentukan bahawa tidak ada bukti yang cukup untuk membuktikan salah laku itu.
Manakala pindaan keempat melibatkan kesalahan liwat antara suami dan isteri, yang memperuntukkan hukuman ta'zir sekiranya didapati bersalah.
Pindaan baru ini juga memansuhkan peruntukan yang menyatakan perbuatan seks antara perempuan, necrofilia (mayat) dan binatang sebagai jenayah.
Bagaimanapun, Rang Undang-undang itu mengekalkan hukuman rejam sampai mati, sula dan salib.
#BN #DUN Kelantan #hudud #PAS
;