MB Kedah digesa kemuka gerak kerja jangka pendek, sederhana selesai masalah air

Bernama
April 28, 2023 16:45 MYT
Shaiful Hazizy mendakwa kelalaian dan kegagalan tadbir urus kerajaan negeri mengakibatkan lebih sejuta pengguna terkesan dengan masalah itu khususnya pada musim perayaan. - Fail
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor digesa mengemukakan gerak kerja jangka pendek dan sederhana bagi menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi rakyat di negeri itu.
Ketua Penerangan UMNO Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mendakwa kelalaian dan kegagalan tadbir urus kerajaan negeri mengakibatkan lebih sejuta pengguna terkesan dengan masalah itu khususnya pada musim perayaan.
Beliau juga mahu Muhammad Sanusi mengemukakan laporan garis masa penuh penyiapan kesemua projek loji rawatan air (LRA) di negeri itu bagi membuktikan ia berada dalam perkembangan baik dan mengikut jadual.
"UMNO Kedah cabar Menteri Besar untuk bawa media ke setiap tapak LRA berserta taklimat penuh pembangunan LRA daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA), serta kemukakan rasional menganugerahkan dua projek LRA dan Non-Revenue Water (NRW) kepada sebuah syarikat yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata projek menaik taraf lima LRA di negeri itu berjalan lancar dan dijangka siap mengikut jadual secara berperingkat mulai hujung tahun ini.
-- BERNAMA
#masalah air #Menteri Besar Kedah #Muhammad Sanusi Md Nor #Shaiful Hazizy
;