MB Johor ingatkan ADUN jaga tingkah laku pada sidang DUN
Bernama
Ogos 11, 2018 06:45 MYT
Ogos 11, 2018 06:45 MYT
Seluruh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor diingatkan menjaga bahasa dan tingkah laku sepanjang Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 yang dijadualkan bermula hari ini (Ahad) sehingga 19 Ogos ini.
Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata setiap ADUN perlu mematuhi titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar untuk tidak menjadikan persidangan seperti 'sarkas'.
"Saya harap perkara itu (bahasa kesat) tidak akan berlaku di DUN Johor sebagaimana titah Tuanku Sultan Ibrahim supaya tidak menjadikan dewan seperti sarkas.
Kalau titah baginda tidak mahu diikut, tidak tahulah, tetapi saya yakin bangsa Johor mempunyai budi pekerti dan bahasa yang tinggi khususnya di dewan yang mulia ini," katanya yang ditemui pemberita selepas pelancaran pengecualian bayaran lesen penjaja, di sini Sabtu malam.
Sultan Ibrahim ketika merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Pertama DUN Johor Ke-14, dua hari lepas (Khamis), mengingatkan semua 56 ADUN di negeri ini supaya menjaga adab dan tatatertib ketika berbahas.
Sultan Ibrahim bertitah baginda tidak mahu DUN Johor dijadikan seperti 'sarkas' dan berharap Speaker DUN Johor akan menjalankan tugas dengan cekap dan tegas bagi memastikan perbahasan dibuat dengan berhemah dan teratur.
--BERNAMA