MB Johor bakal diketahui sebelum upacara angkat sumpah esok - Muhyiddin

Atiqah Ismail
Mei 11, 2018 18:22 MYT
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah perkenankan majlis angkat sumpah bagi Menteri Besar Johor bakal diadakan pada esok hari pada jam 3 petang. -Foto Bernama
Teka-teki mengatakan siapakah yang bakal dilantik sebagai Menteri Besar Johor bakal terjawab tidak lama lagi.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan akan mengumumkan nama Menteri Besar (MB) Johor yang baharu sebelum majlis upacara angkat sumpah esok.
Beliau yang mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini bagaimanapun enggan mendedahkan siapakah individu yang bakal menyandang gelaran itu memandangkan masih menunggu kelulusan Pakatan Harapan di peringkat nasional.
“Baginda telah berkenan untuk mengadakan majlis angkat sumpah bagi melantik Menteri Besar, esok.
“Tidak perlu saya sebutkan namanya kerana ia bakal terjawab sebelum majlis angkat sumpah berlangsung,” katanya.
Dalam pertemuan itu juga, Sultan Ibrahim sempat menyampaikan beberapa nasihat mengenai urus tadbir negeri Johor bagi memaksimumkan potensi negeri itu, sekali gus membangunkan Malaysia.
#Johor #Menteri Besar Johor #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #Sultan Ibrahim Sultan Iskandar #Sultan Johor #upacara angkat sumpah
;