MB baharu Kelantan perlu jalin hubungan baik dengan kerajaan Pusat

Bernama
Ogos 13, 2023 17:35 MYT
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob (tengah) berucap pada Majlis Pengumuman Kemenangan Parti PAS sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan di Pejabat Penerangan Pas negeri malam Sabtu. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan yang baharu perlu berintegriti dan menjalin hubungan yang baik dengan kerajaan Pusat demi kesejahteraan rakyat di negeri itu.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Rusdi Omar, berkata kerjasama itu penting untuk memastikan Kelantan tidak ketinggalan dalam segala aspek seperti isu ketidakseimbangan pembangunan negeri dan wilayah, ekonomi, selain penyelesaian masalah air yang berlarutan di negeri tersebut.
"Menteri Besar juga perlu memiliki perwatakan yang mesra dengan rakyat dan kerajaan Pusat, selain bersikap profesional serta tidak mudah melatah dengan isu-isu yang dibangkitkan rakyat.
"Dalam tempoh lima tahun ini juga, rakyat akan melihat dan menilai bagaimana corak kepimpinan dan perubahan yang dilakukan sama ada masih di takuk yang lama atau mempunyai pentadbiran yang lebih baik berbanding sebelum ini," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Sementara itu, Pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata pemilihan calon Menteri Besar yang baharu perlulah seorang yang mampu menyatukan rakyat Kelantan daripada pelbagai peringkat, kaum dan agama.
PRN: Untuk keputusan penuh, siapa menang dan siapa kecundang klik di SINI
"Kepimpinan baharu di Kelantan perlu diterajui oleh barisan yang menjaga kepentingan dan kebajikan semua rakyat tanpa mengira perbezaan fahaman politik dan sebagainya," katanya.
Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengumumkan Menteri Besar Kelantan yang baharu dijangka mengangkat sumpah pada Selasa ini.
Ahmad, yang memegang jawatan Menteri Besar Kelantan sejak 2013, berkata ia susulan Pas berjaya membentuk kerajaan negeri, selepas menang 43 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.
Jumaat lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kerajaan Kelantan yang ditadbir PAS, dijangka memiliki gabungan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar yang baharu, selepas PRN ini.
-- BERNAMA
#PRN Kelantan #menteri besar kelantan #kerajaan pusat #kerajaan negeri Kelantan
;