Mazlan Bujang Pengerusi Bersatu Johor baharu

Astro Awani
April 30, 2019 22:12 MYT
Mazlan diharap dapat menyumbang idea dan tenaga serta menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh komitmen dan jujur demi kepentingan parti. Facebook Mazlan Bujang
Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor, Mazlan Bujang, dinamakan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor yang baharu.
Bernama melaporkan perkara itu disahkan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan bahawa surat pelantikan telah diberikan kepada Mazlan.
"Saya fikir beliau sudah diberi surat," kata Perdana Menteri selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Pegawai-Pegawai Kerajaan Bersama Perdana Menteri di sini hari ini.
Buat masa ini, jawatan Pengerusi Bersatu Johor disandang Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala Menteri Besar Johor yang baharu Datuk Dr Sahruddin Jamal sebagai Setiausaha.
BACA: Muhyiddin nafi ada sengketa dengan Dr Mahathir
Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Mazlan berkuatkuasa 25 Mei 2019.
Katanya, Mazlan diharapkan dapat menyumbangkan idea dan tenaga serta menjalankan tugas yang diamanahkan ini dengan penuh komitmen dan jujur demi kepentingan parti.
BACA: Pengganti jawatan Pengerusi Bersatu Johor akan diumumkan dalam tempoh terdekat
Beliau juga melahirkan ucapan ribuan terima kasih Bersatu kepada Osman di atas sumbangannya ketika menjadi Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Johor.
Dalam kenyataan itu, Marzuki turut menjelaskan, Muhyiddin tidak pernah menjadi Pengerusi Bersatu Johor, sebaliknya beliau adalah Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Johor.
BACA: Osman Sapian letak jawatan Menteri Besar Johor
#Bersatu #Exco #Johor #Mahathir Mohamad #Marzuki Yahya #Mazlan Bujang #Muhyiddin Yassin #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #PPBM #surat pelantikan
;