Maximus Ongkili kekal sebagai Presiden PBS
Bernama
Januari 20, 2023 21:05 MYT
Januari 20, 2023 21:05 MYT
KOTA KINABALU: Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini sebulat suara mengundi untuk mengekalkan Datuk Seri Maximus Ongkili bagi terus menerajui parti itu sebagai Presiden.
Mengucapkan terima kasih kepada sokongan dan kepercayaan yang berterusan terhadapnya, Ongkili berkata keputusan itu memberi masa kepada parti untuk mengenal pasti pengganti beliau.
"Meskipun saya telah mengumumkan untuk berundur pada pemilihan (PBS) akan datang, (namun) ahli Majlis Tertinggi telah mengundi saya untuk kekal sebagai Presiden parti. Ini akan memberi masa yang mencukupi kepada PBS untuk mengenal pasti pengganti saya," menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Ongkili, yang menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu pada Jun tahun lepas, berkata terdapat ramai pemimpin muda dalam PBS yang mampu membina dan membawa parti ke tahap lebih tinggi apabila tiba masanya.
Bekas Ahli Parlimen Kota Marudu itu telah mengumumkan bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai Presiden parti itu dalam tempoh tiga tahun semasa Persidangan Perwakilan PBS pada Jun 2022.
-- BERNAMA