Maximus ketua parti politik terakhir menghadap YDP Agong hari ini
Astro Awani
Jun 11, 2021 15:28 MYT
Jun 11, 2021 15:28 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Bersatu Sabah Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili menjadi ketua parti politik yang ketiga dan terakhir diperkenan masuk menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.
Terdahulu kenderaan yang Ahli Parlimen Kota Marudu itu naiki, dilihat memasuki Pintu Dua, Istana Negara kira-kira 2.16 petang tadi.
Difahamkan Ongkili, yang juga merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu, akan membawa pandangan mengenai Proklamasi Darurat serta isu-isu berkaitan.
Terdahulu sesi pertemuan antara Tuanku yang memasuki hari ketiga hari ini, dimulakan dengan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada pukul 9.55 pagi, dan pertemuan berakhir kira-kira sejam kemudian.
Ia kemudian disusuli oleh Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran yang dilihat memasuki perkarangan Istana Negara kira-kira 10.50 pagi.
Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak selaku Presiden GPS Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg akan mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dijangka akan menghadap Al-Sultan Abdullah pada Isnin secara dalam talian bersama pemimpin lain dari pejabatnya di Kuching, Sarawak.
Abang Johari dalam satu kenyataan pada Rabu mengesahkan Al-Sultan Abdullah telah memberi perkenan.
#Maximus Ongkili
#menghadap Al-Sultan Abdullah
#Zahid Hamidi
#Istana Negara
#COVID-19
#Abang Johari Abang Open
#Parti Pesaka Bumiputera Bersatu