'Mat Taib, lain kali fikir dahulu sebelum masuk PAS' - Dr Khir

Wan Syamsul Amly
Mei 24, 2015 09:16 MYT
DR KHIR: 'Mat Taib, lain kali fikir dahulu sebelum masuk PAS' -Gambar fail
Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo menasihatkan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib agar berfikir dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai kekecewaannya berada di dalam PAS.
Kata Dr Khir, Menteri Besar Selangor ke-11 itu juga disifatkan tidak pernah berfikir panjang sebelum melompat daripada UMNO ke parti PAS.
"Sekarang Mat Taib kecewa lagi, lain kali dia awal-awal lagi kena fikir dahulu sebelum buat keputusan untuk masuk PAS.
"Dia sudah pilih jalan itu, jadi dia kena fikirlah. Dia masuk PAS dahulu sebab kecewa dan tidak fikir semasak-masaknya tindakan itu. Sekarang dia kecewa lagi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
BACA: "Dulu saya minat PAS, sekarang tak sangat dah" - Mat Taib
Dr Khir mengulas kenyataan Muhammad yang kecewa dengan apa yang berlaku dalam PAS dan akan menunggu sehingga selesai muktamar parti itu sebelum membuat keputusan sama ada akan kekal atau keluar parti.
Bercakap dalam satu forum bertajuk "Mencari Pemimpin Baru Malaysia" di Petaling Jaya pada Sabtu, Muhammad berkata pemimpin PAS yang ada sekarang tidak mempamerkan mereka mewakili semua kaum.
BACA: PAS akan kalah jika pilihan raya diadakan di Selangor - Mat Taib
Sekarang Mat Taib kecewa lagi, lain kali dia kena fikir dahulu sebelum buat keputusan untuk masuk PAS
Dalam pada itu kata Dr Khir, antara petua yang harus diingat di dalam politik adalah tidak membuat keputusan kerana kekecewaan.
"Saya sebelum ini sudah 'belajar' dengan PAS, hampir tiga tahun ikut kuliah mereka dan faham selok belok politik parti itu.
"Mat Taib buat keputusan berdasarkan mejoriti umum dan bukan pertimbangan diri semasa umum masuk PAS dahulu, sebagai ketua dia kena fikirlah. Masuk PAS sebab kecewa jadi beginilah," jelasnya.
BACA: Mat Taib harap kontroversi lampau dilupakan?
Dr Khir merupakan Menteri Besar Selangor ke-13 sebelum menyerahkan kerusi kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari PKR selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12.
Bagaimanapun, jawatan Abdul Khalid diambil alih Mohamed Azmin Ali pada 23 September lepas.
BACA: Mat Taib sertai PAS
Pada April 2013, Muhammad secara sah menyertai PAS dan berikrar akan membantu kempen parti Islam itu ke arah perubahan yang berlandaskan kepada roh Islam.
Kata Muhammad, dia masuk PAS bukan kerana mengejar jawatan ataupun untuk menjadi calon dalam pilihan raya dan kerana itu mahu pengumuman mengenainya dibuat selepas penamaan calon pada PRU lepas.
#dr khir #Menteri Besar #Mohammad #PAS #Selangor #UMNO
;