'Mat Saleh' jadi tumpuan di pusat mengundi
Noraniza Kamsani
Mei 9, 2018 14:13 MYT
Mei 9, 2018 14:13 MYT
Kehadiran seorang warga emas yang memiliki raut wajah seperti 'Mat Saleh' menjadi tumpuan orang ramai yang hadir membuang undi di Pusat Daerah Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Panching Selatan di sini, hari ini.
Mohamad Jaafar, 76, yang berketurunan Belanda hadir seawal jam 8 pagi untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia.
Malah dengan keadaan kulitnya yang putih kemerahan dan memakai topi menjadi peneroka FELDA Panching Timur itu seperti seorang 'mat saleh' yang sebenar.
Menurutnya, beliau sudah mengundi sejak zaman Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein menjadi Perdana Menteri dan ketika itu tinggal di Nenasi, Pekan.
"Memang ramai yang panggil saya 'Mat Saleh', namun saya tidak berkecil hati, malah saya suka. Ini adalah anugerah daripada Allah yang patut saya terima," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Terdahulu, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah turut membuang undi di saluran tiga Pusat Daerah Mengundi SK FELDA Panching Selatan kira-kira jam 8.54 pagi.
Dalam pada itu, seorang warga emas, Halijah Ali, 79, mengakui cukup bersemangat untuk keluar menunaikan kewajipan sebagai rakyat Malaysia setelah sejak sekian lama tidak berupaya untuk keluar rumah.
Ibu kepada 9 orang anak ini berkata, setelah dua kali kakinya patah, beliau kini terpaksa mengharapkan bantuan orang untuk bergerak, namun ia tidak menjadi penghalang untuk beliau membuang undi.
"Setiap kali pilihan raya, saya tidak pernah lupa menunaikan tanggungjawab. Saya bersemangat sebab ini tanggungjawab saya sebagai pengundi di sini," katanya.