Mat Sabu yakin menang bergaya

Astro Awani
April 28, 2018 16:05 MYT
Mohamad (tengah) berkata, Pakatan Harapan disokong pelbagai kaum dan ia merupakan satu kelebihan termasuk di Kota Raja. - Foto Astro AWANI/Wan Zahari
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu yakin dapat memenangi kerusi Parlimen Kota Raja dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan bergaya.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden Pakatan Harapan berkata keyakinan itu berdasarkan calon yang ditentangnya tidak memberi saingan sengit.
"Kedua-dua calon dari Barisan Nasional (BN) dan Pas kali ini saya akui tidak mencabar kerana mereka saling bekerjasama.
"Namun sasaran saya tetap calon BN, jadi lawan yang betul saya mahu lawan adalah BN bukannya Pas," katanya kepada pemberita sebaik selesai proses penamaan calon di Dewan MBSA Kemuning Utama, Seksyen 34, hari ini.
Beliau yang bertanding menggunakan logo PKR, juga menjelaskan pertandingan tiga penjuru di kerusi Parlimen Kota Raja memudahkannya mencapai kemenangan pada PRU14 yang akan berlangsung pada 9 Mei nanti.
"Tambahan lagi Pakatan Harapan disokong oleh semua kaum, ia satu kelebihan termasuk Kota Raja ini adalah kerusi campuran yang ketara, bukan majoriti sesuatu kaum.
"Saya yakin saya akan menang bergaya, tiada masalah meskipun saya bukan calon anak tempatan," katanya lagi.
Pada PRU14 kali ini, kerusi Parlimen Kota Raja bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru, yang mana Mohamad akan berdepan dengan Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Kota Raja, Mohamed Diah Baharun (Pas) dan Ketua MIC Bahagian Sepang, V Gunalan (BN).
#Amanah #Barisan Nasional #Gagasan Sejahtera #Kota Raja #Malaysia #MalaysiaMemilih #MIC #Mohamad Sabu #Pakatan Harapan #Parti Amanah Negara #PAS #PRU14 #Selangor
;