Mat Sabu, Salahuddin kekal presiden dan timbalan presiden Amanah

Irwan Muhammad Zain, Hasimi Muhamad
Disember 7, 2019 09:30 MYT
Mohamad Sabu (kiri) dan Salahuddin Ayub kekal memegang jawatan presiden dan timbalan presiden.
Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) sebulat suara memutuskan untuk mengekalkan Mohamad Sabu sebagai presiden parti itu bagi penggal 2019-2022.
Selain Mohamad, AJK Pimpinan Nasional Amanah juga mengekalkan Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai timbalan presiden.
Manakala Datuk Mahfuz Omar, Datuk Seri Mujahid Yusof dan Datuk Hasanuddin Yunus pula kekal sebagai naib presiden.
Keputusan pemilihan lima jawatan tertinggi Amanah ini diumumkan oleh speaker Konvensyen Nasional Amanah 2019, Onn Jaafar.
Sejumlah 27 AJK Pimpinan Nasional Amanah mengadakan mesyuarat khas bagi memilih lima jawatan tertinggi parti pada Sabtu malam sebaik saja diumumkan senarai AJK penggal 2019-2022.
Pada Jumaat, 822 perwakilan Amanah telah memilih 27 AJK Pimpinan Nasional dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad memperolehi undi tertinggi dengan 786 undi.
Selepas empat tahun ditubuhkan, ini merupakan kali pertama Amanah mengadakan pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Nasional.
#Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional #Mohamad Sabu #Onn Jaafar #Parti Amanah Negara #presiden parti #Salahuddin Ayub #timbalan presiden
;