Mat Sabu pertahan Anwar, enggan 'hentam' Dr Mahathir

Hakim Rahman
November 28, 2020 14:18 MYT
Mohamad Sabu tekad pertahankan hubungan dan kerjasama politik dengan Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan serta tidak akan meninggalkan Dr Mahathir dalam perjuangan politik.
KUALA LUMPUR: Presiden Amanah, Mohamad Sabu tekad mempertahankan hubungan dan kerjasama politik dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH).
Menurut beliau, kerjasama yang telah terjalin sejak 20 tahun lalu pasti ada kelebihan dan kelemahan selain amat sukar berpisah tetapi jalan ke hadapan adalah untuk mencari kesamaan titik perjuangan dan sentiasa memperkuatkan kerjasama.
“Yang lebih utama bagi kita adalah kesatuan dan persahabatan. Dalam masa yang sama kita sentiasa mencari jalan memperbanyakkan kawan dan mengurangkan lawan. Inilah sikap saya,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika Anwar dihujani kritikan setelah dia memutuskan agar wakil rakyat pembangkang tidak melakukan undi belah bahagi semasa bacaan kedua Belanjawan 2021 Khamis lalu.
BACA: Saya minta Ketua Whip parti pembangkang tidak sokong undi belah bahagi - Anwar
BACA: DAP harus pertimbang putus hubungan dengan PKR jika Anwar enggan mohon maaf - DAPSY
Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, sikap itu jugalah yang menyebabkannya enggan meninggalkan dan menghentam bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum Pilihan Raya Umum Ke-4 lalu.
"Saya katakan tidak. Kita telah bekerjasama dengan beliau (Dr Mahathir), sama-sama sepentas melawan kerajaan kleptokrat yang sangat berkuasa, mengenali di antara satu sama lain, masakan saya hendak memaki hamun beliau.
"Begitu jugalah di dalam Pakatan Harapan yang menggabungkan tiga parti iaitu Amanah, DAP dan PKR," tegas Mat Sabu lagi.
#Mat Sabu #Anwar Ibrahim #Pakatan Harapan #Belanjawan2021 #usul belah bahagi #Mahathir Mohamad
;