Mat Sabu kekal Presiden Amanah, Mujahid timbalan

Hasimi Muhamad
Disember 24, 2023 19:10 MYT
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu bersama Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa pada Konvensyen Nasional Amanah 2023 hari ini. - Foto Bernama
KLANG: Datuk Seri Mohamad Sabu kekal menjawat jawatan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) untuk penggal ketiga selepas dipilih dalam kalangan Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti itu bagi sesi 2023/2026 sebentar tadi.
Ia sekali gus menyaksikan ia penggal terakhir bagi Mohamad untuk mengemudi parti tersebut, yang mempunyai lebih 200,000 ahli.
Manakala, jawatan Timbalan Presiden yang sebelum ini kosong susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahudin Ayub kini disandang oleh Datuk Seri Mujahid Yusof.
Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional turut membuat keputusan untuk tiga jawatan Naib Presiden yang masing-masing kini diisi oleh Datuk Seri Dr Dzulkefli Ahmad; Dr Siti Mariah Mahmud; serta Adly Zahari.
Sebelum ini, tiga jawatan Naib Presiden disandang oleh Datuk Mahfuz Omar, Mujahid dan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.
Menurut perlembagaan Parti Amanah, kedudukan lima jawatan tertinggi termasuk Presiden ditentukan secara konsensus oleh 27 pimpinan tertinggi yang dipilih oleh perwakilan, dan seseorang hanya boleh menjadi presiden selama tiga penggal berturut-turut.
#Parti Amanah Negara #Mohamad Sabu #Mujahid Yusof #presiden amanah
;