Mat Sabu dipanggil beri keterangan berhubung perhimpunan Bersih

Anthea Yap
September 21, 2015 17:13 MYT
MAT SABU: Kita tunggu sama ada (wujud) pendakwaan atau tidak. Kalau ada pendakwaan, segala penjelasan akan dilakukan di mahkamah nanti. -Gambar fail
Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini bagi memberi keterangan berhubung perhimpunan Bersih 4.
Beliau disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 Seksyen 4 (2) (C) kerana menganjur atau menyertai satu protes jalanan pada perhimpunan Bersih antara 29 hingga 30 Ogos lalu.
Menurut Mohamad Sabu, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, pihaknya kini sedang menunggu keputusan polis sama ada pendakwaan akan dibuat terhadapnya.
Mohamad Sabu hadir di IPD Dang Wangi pada jam 11 pagi Isnin bersama peguamnya, Nasar Khan Mirbas Khan.
"Pihak polis tidak menyebut apa-apa kesalahan cuma mengadakan satu sesi temu bual dan kita memberi keterangan dengan baik.
"Kita tunggu sama ada (wujud) pendakwaan atau tidak. Kalau ada pendakwaan, segala penjelasan akan dilakukan di mahkamah nanti," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 Seksyen 4 (2) (C) hukuman denda sehingga RM10,000 boleh dikenakan jika didapati bersalah.
#akta perhimpunan aman #bersih 4 #Mohamad Sabu #Nasar Khan Mirbas Khan #protes jalanan
;