Mat Sabu diharap tidak tinggalkan PAS

Irwan Muhammad Zain
Jun 21, 2015 17:36 MYT
Mat Sabu diharap tidak tinggalkan PAS
Mohamad Sabu diharapkan supaya kekal dalam PAS dan meneruskan agenda perjuangan parti Islam itu biarpun tidak memegang apa-apa jawatan.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihak yang tewas dalam pemilihan parti baru-baru ini perlu menerima keputusan yang dibuat perwakilan dengan hati yang terbuka.
"Kita harapkan bahawa dia (Mohamad) akan memperkukuhkan parti selepas muktamar.
"Seluruh pihak harus menerima keputusan dengan terbuka dan semua pihak mesti berkerja keras memperkasakan parti," katanya pada sidang media di Pejabat Agong PAS di sini, hari ini.
Sebelum ini, dalam satu ceramah di Bakri, Muar, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu memberitahu beliau akan meneruskan perjuangannya menerusi satu 'wadah baharu'.
Mohamad bersama pemimpin lain dari kumpulan progresif yang tewas dalam pemilihan pimpinan PAS awal bulan ini tidak menolak kemungkinan satu parti baharu akan ditubuhkan.
Mengulas mengenai penganjuran program 'Jasamu Dikenang' oleh pihak-pihak tertentu beagi meraikan pemimpin yang tewas, Tuan Ibrahim berkata PAS tidak akan menghalang sebarang penganjuran majlis seperti itu.
"Kita tak ada halangan cuma ahli parti terikat dengan dasar dan peraturan parti. Aktiviti mesti jangan keluar daripada kedudukan kita sebagai ahli parti.
"Saya fikir apa yang cuba digembar gemburkan oleh media tidak sebagaimana yang dihasratkan," katanya.
Tambah Tuan Ibrahim, PAS Pusat juga akan mengadakan sambutan hari raya Aidilfitri dan majlis 'jasamu dikenang' kepada seluruh pemimpin PAS di seluruh negara Julai ini.
#Mat Sabu #PAS #Tuan Ibrahim
;