Mat Sabu anggap mandat sebagai Menteri Pertahanan satu cabaran besar
Bernama
Mei 12, 2018 17:47 MYT
Mei 12, 2018 17:47 MYT
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu atau 'Mat Sabu' yang diumumkan sebagai Menteri Pertahanan hari ini, menganggap mandat yang diberikan kepadanya itu sebagai satu cabaran besar.
Mohamad yang ditemui selepas sidang media pengumuman menteri kabinet baharu oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata beliau sudah mempunyai perancangan awal bagi pengurusan dan pentadbiran kementerian itu.
"Ini satu cabaran yang besar kepada saya, namun, saya akan membuat kajian awal serta mengadakan pertemuan dengan semua pemimpin kanan kementerian ini.
"Saya ingin tahu apa yang berlaku dalam kementerian ini dan perkara yang perlu dilakukan serta cadangan yang bakal dikemukakan." katanya kepada pemberita selepas tamat sidang media berkenaan di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Menara Yayasan Selangor, dekat sini .
Dalam sidang media berkenaan, Dr Mahathir turut menamakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri.
Mengulas lanjut, Mohamad antara lain turut mahu meneliti semua laporan berkaitan tanah-tanah milik angkatan tentera yang didakwa sudah tergadai.
"Saya akan cuba dapatkan laporan berhubung tanah-tanah angkatan tentera yang dikatakan tergadai. Saya akan meneliti perkara itu," tambahnya.
#Mahathir Mohamad
#Mohamad Sabu
#Muhyiddin Yassin
#Parti Amanah Negara
#Parti Pribumi Bersatu Malaysia
#Perdana Menteri
#PPBM
#Yayasan Selangor