Maszlee Malik sertai PKR, Anwar yakin parti bakal raih manfaat

Astro Awani
November 27, 2021 19:18 MYT
Maszlee Malik (tiga dari kiri) menerima replika kad keahlian PKR daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim (empat, kanan) pada Siri Jelajah Presiden PKR ke Johor di Dewan JKKK Kampung Baru Machap hari ini. - Gambar BERNAMA
SIMPANG RENGGAM: Ahli Parlimen Simpang Renggam yang juga bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik sah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Perkara itu diumumkan beliau ketika menghadiri Program Jelajah Presiden Keadilan di Kampung Baru Machap di sini, hari ini.
Setelah lebih setahun tanpa parti, penyertaannya ke dalam PKR diibaratkan seperti sirih pulang ke gagang kerana Maszlee mendedahka, beliau pernah mendaftar sebagai ahli parti itu bagi cabang Ampang pada 2017.
"Sementelahan Keadilan berada dalam populariti yang tidak begitu menggalakkan pada waktu ini… terutama selepas kekalahan PRN (Pilihan Raya Negeri) Melaka, saya telah terpanggil untuk melakukan sesuatu untuk membawa perubahan.
“Ada yang mengejek dalam laman media sosial mengapa saya nak sertai parti yang kalah, malah Presidennya diserang dari pelbagai sudut malah segelintir kawan pun menyerang beliau.
“Saya katakan inilah harga sebuah perjuangan (kerana) saya tidak masuk parti untuk mengaut laba keuntungan dan tidak mahu menjadi opportunis politik yang tukar parti untuk dapat jawatan atau ganjaran,” katanya ketika berucap.
Maszlee merupakan seorang ahli akademik sebelum terjun ke dunia politik dengan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan memenangi kerusi Parlimen Simpang Renggam pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 sekali gus mendirikan kerajaan, Maszlee telah dilantik sebagai Menteri Pendidikan, namun, meletakkan jawatan susulan beberapa kontroversi.
Maszlee juga dipecat dari Bersatu pada Mei tahun lalu susulan konflik dalaman yang tercetus akibat keputusan parti itu untuk keluar daripada PH dan beliau memutuskan untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas pada November tahun lalu selepas beberapa bulan bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya menyambut baik keahlian Maszlee yang disifatkan beliau bakal memberi manfaat besar buat parti itu susulan prestasinya sebagai ahli politik muda.
"Bagi kami, ini satu suntikan baharu yang sangat bermakna terutama mewakili barisan golongan muda memperkuatkan lagi parti.
“Penyertaan beliau itu diambil kira tentang prestasi dia diantara Ahli Parlimen yg banyak turun ke bawah membantu… saya percaya akan diberi pertimbangan," kata Anwar.
Selain penyertaan Maszlee, PKR juga menerima 500 borang keahlian baharu yang terdiri daripada penyokong penyandang kerusi Ahli Parlimen Simpang Renggang.
#Maszlee Malik #Maszlee sertai PKR #Anwar Ibrahim #Ahli Parlimen Simpang Renggam
;