Maszlee dakwa pegawainya 'ditekan' SPRM
Ridauddin Daud
Januari 29, 2022 17:25 MYT
Januari 29, 2022 17:25 MYT
KUALA LUMPUR: Maszlee Malik mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa menekan dan melakukan intimidasi terhadap pegawai-pegawainya di Parlimen Simpang Renggam.
Ahli Parlimen Simpang Renggam yang juga bekas Menteri Pendidikan itu turut mendakwa, pegawai di kementerian lamanya juga didatangi pegawai SPRM bagi ‘mengorek’ kesalahan yang disifatkannya rekaan semata-mata.
Maszlee membidas tindakan tersebut dan menyifatkan ia sebagai tindakan jahat dan malafide (berniat buruk).
“Bila tanya kepada pegawai, mereka kata ada laporan terhadap saya. Laporan apa? Adakah kerana program pendidikan, program untuk pandaikan rakyat, program untuk galakkan membaca dan kembali ke sekolah?
“Adakah ini satu dosa kepada SPRM? Negara kita ke mana perginya kalau begini? Bagi mereka yang ingin intimidasi, saya katakan, anak sekolah, ibu bapa, guru dan rakyat Simpang Renggam akan tetap bersama saya.
“Usaha saya untuk memandaikan rakyat, usaha saya untuk mengangkat pendidikan. Adakah ini satu kesalahan di sisi SPRM?” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi berhubung siasatan memorandum melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada Sabtu.
Ketika ketika diminta mengulas berkenaan siasatan tersebut, Maszlee menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada anggota terlibat kerana melakukan tugas mereka dengan profesional.
Untuk rekod, pada Jumaat, dua pemimpin pembangkang memberi keterangan kepada polis berhubung memorandum berkaitan isu pemilikan saham membabitkan Azam.
Mereka hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi setelah dipanggil bagi menjelaskan mengenai memorandum yang mereka terima daripada sekumpulan Pemuda PKR yang berarak ke Parlimen pada 20 Januari lalu.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Datuk Maria Chin Abdullah tiba pada jam 9.21 pagi, disusuli Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil pada jam 9.41 pagi.
Pada Sabtu pula, Maszlee dilihat tiba di IPD pada jam 11.50 tengah hari dan masuk ke balai pada jam 12.18 tengah hari dan semuanya selesai kira-kira 20 minit kemudian.