Maszlee dakwa ada cara cepatkan usul tidak percaya terhadap PM
Irwan Muhammad Zain
Oktober 19, 2020 16:52 MYT
Oktober 19, 2020 16:52 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, mendakwa terdapat cara lain usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri boleh diberi laluan untuk diputuskan dengan lebih cepat di Dewan Rakyat.
Maszlee mendakwa, cara itu adalah dengan mengemukakan usul di bawah Peraturan 90 (2) meminta agar Dewan Rakyat menangguhkan urusan kerajaan dan memberi laluan kepada usul berkenaan dibaca dan diputuskan terlebih dahulu.
Beliau mendakwa, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, sebelum ini telah terkhilaf apabila menyatakan bahawa satu-satunya cara untuk usul itu didahulukan adalah melalui rundingan dengan pihak kerajaan.
"Saya telah menghantar satu usul di bawah Peraturan 90 (2), iaitu suatu usul untuk menggantung sementara kuat kuasa Peraturan 15 (1) dan beberapa peraturan-peraturan mesyuarat lain yang berkaitan.
“Bererti melalui usul ini saya telah meminta agar Dewan Rakyat membuat keputusan agar urusan kerajaan ditangguhkan sementara dan usul undi tidak percaya yang dibawa Yang Berhormat Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad) dibaca dan diputuskan terlebih dahulu.
“Usul ini pada asasnya bukanlah untuk menambah rumit kemelut politik sedia ada di saat rakyat sedang berdepan bencana. Namun usul ini hakikatnya tampil untuk menamatkannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Pada 16 Oktober lepas, Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir bersama empat ahli Parlimen lain termasuk Maszlee menghantar usul tidak percaya terbaharu terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Selain lima ahli parlimen Bebas itu, usul tidak percaya juga turut dihantar oleh beberapa ahli Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah).
Sehari selepas usul tidak percaya itu dihantar, portal MalaysiaNow mendedahkan surat akuan bersumpah (SD) yang didakwa ditandatangani Maszlee bagi menyokong ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Sehingga hari ini Maszlee atau pegawainya tidak menafikan atau mengesahkan SD itu.
#Mazlee Malik
#Mahathir Mohamad
#Muhyiddin Yassin
#Anwar Ibrahim
#Pejuang
#PKR
#Pakatan Harapan
#usul
#tidak percaya
#Dewan Rakyat