Masyarakat India perlu bersatu suara - Subramaniam
Bernama
April 19, 2016 08:27 MYT
April 19, 2016 08:27 MYT
Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam hari ini mengulangi gesaan agar masyarakat India bersatu untuk menjadi satu suara yang lebih kuat dan kukuh bagi menghadapi cabaran politik masa hadapan.
"Jumlah masyarakat India dalam negara ini dalam lingkungan 2.2 juta sahaja dan mereka ini perlu bersatu padu untuk memastikan suara mereka kuat sekali gus memastikan tempat dan kedudukan kita (masyarakat) dalam iklim politik.
"Perpaduan ini secara langsung dan tidak langsung akan memberi kesan terhadap perkara di luar politik antaranya berkaitan pendidikan, pembangunan ekonomi dan sosial serta agama dan sebagainya," katanya.
"Kalau perwakilan dalam bidang politik tidak berapa memuaskan maka ia akan memberi kesan ke atas apa yang kita boleh capai dalam bidang-bidang lain," katanya pada majlis Ramah Mesra bersama Pemimpin Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Masyarakat India siri keempat di sini.