Mastura bawa semangat Allahyarham suami ketika upacara angkat sumpah

Bernama
Oktober 17, 2016 07:00 MYT
Mastura mengangkat sumpah sebagai Anggota Parlimen di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Anggota Parlimen lain sebaik persidangan Dewan Rakyat bermula pagi Isnin. - Gambar fail
Anggota Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid membawa bersama semangat Allahyarham suaminya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad ketika mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat di Dewan Rakyat pada Isnin.
Katanya walaupun beliau tidak duduk di kerusi asal di mana arwah suaminya duduk sebelum ini, namun kedudukan yang sebaris dengan kedudukan arwah melegakan perasaannya.
"Saya tidak duduk di kerusi yang diduduki arwah, tetapi cuma di barisan yang sama, saya merasakan kehadiran arwah bersama saya ketika mengangkat sumpah tadi," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, pada Isnin.
Mastura mengangkat sumpah sebagai Anggota Parlimen di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Anggota Parlimen lain sebaik persidangan Dewan Rakyat bermula pagi Isnin.
Mastura, 55, berjaya mengekalkan kerusi kawasan Parlimen Kuala Kangsar yang disandang Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar dengan majoriti 6,969 undi pada PRK Kuala Kangsar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 18 Jun lepas.
Sementara itu, Budiman Mohd Zohdi yang mengangkat sumpah sebagai Anggota Parlimen Sungai Besar berkata antara isu yang bakal beliau kemukakan sebagai anggota Dewan Rakyat ialah berkaitan air pasang besar yang melibatkan kawasan persisiran pantai termasuk di Sungai Besar.
Katanya isu air pasang besar tidak lagi bersifat tempatan dan memerlukan bantuan Kerajaan Persekutuan dalam merangka jalan terbaik menanganinya.
"Sebagai Anggota Parlimen saya berpeluang bertanya soalan terus kepada menteri terlibat, jadi saya tidak perlu lagi menunggu lama, ini merupakan salah satu kebaikannya," katanya.
Beliau yang juga merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang berkata walaupun Dewan Rakyat agak berbeza dengan sesi Dewan Undangan Negeri, beliau sedia untuk belajar proses persidangan itu demi kepentingan rakyat.
Budiman, 44, menang dengan majoriti 9,191 undi pada PRK Sungai Besar, juga pada 18 Jun lepas mengatasi majoriti 399 undi yang diperoleh bekas penyandang dari Barisan Nasional (BN) Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon.
Kedua-dua PRK itu diadakan berikutan kematian Noriah dan Wan Mohammad Khair-il Anuar yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas. -- BERNAMA
#Kuala Kangsar #Mastura Mohd Yazid #Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad
;