'Mastura bakal jadi 'wanita besi' seperti Rafidah' - Devamany
Wan Syamsul Amly, Harits Asyraf Hasnan
Jun 15, 2016 10:04 MYT
Jun 15, 2016 10:04 MYT
Calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid dilihat bakal menjadi seorang wanita besi seperti Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.
Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S K Devamany berkata, kesinambungan itu akan dijadikan azimat untuk Mastura di Kuala Kangsar, Perak sekali gus negara.
Katanya, pengundi mahu melihat Mastura sebagai replika Rafidah dalam banyak segi dan memajukan Kuala Kangsar dengan kebijaksanaan kepimpinan politiknya.
"Saya percaya Datin Mastura akan menjadi seorang pemimpin dan Ahli Parlimen berjiwa rakyat. Kerana dia, beribu-ribu orang akan turun membantu dan simpatinya bukan kerana kehilangan suami.
"Kekuatan Mastura sebagai seorang wanita dan peguam yang pernah berniaga di luar negara. Kewibawaan dan kesinambungan kewanitaannya sebagai Rafidah perlu untuk Perak, Kuala Kangsar dan Malaysia," katanya ketika ditemui di ibu pejabat MIC di sini pada Selasa.
Rafidah merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri daripada 1987 sehingga 2008 dan Ketua Wanita UMNO dari 2004 sehingga 2007 selain memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar buat kali keenam dari 1986.
Dalam pada itu kata Devamany, sokongan kaum India kepada BN di Kuala Kangsar juga menunjukkan peningkatan dalam masa tiga minggu.
"Pada minggu pertama saya di sini untuk kempen, sokongan adalah 60 peratus namun kini meningkat kepada 80 peratus.
"Ini adalah kerana pendekatan rumah ke rumah, berjumpa setiap pengundi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga turun dan menyelesaikan isu tempatan dan dibantu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk menyelesaikan isu tanah dan masyarakat," jelasnya.
Tegasnya, langkah itu memberi impak besar dan mengubah minda pengundi yang was-was pada mula kepada menaruh kepercayaan tinggi kepada BN.
"Ia dibantu jentera berpengalaman, ketua jentera yang ada pengalaman dengan Rafidah dan dengan Allahyarham Datuk Wan. Kita ada 17 cawangan (MIC) dan sembilan pusat daerah mengundi (PDM) selain barisan pergerakan lancar kemas dan sistematik.
"Ini membantu kita untuk mengesan pengundi dan daripada 2,282 pengundi, kita sudah kesan semua secara forensik," ujarnya.
Jelasnya lagi, kerjasama antara komponen BN yang lancar banyak membantu kempen selain disokong jentera MIC di seluruh negara.
"Pemuda, puteri serta sayap MIC lain juga berjumpa pelajar sekolah dan universiti untuk menjelaskan isu-isu di media sosial," katanya.