Masing bagaikan bapa kepada ahli PRS - Snowdan

Alexandra Lorna
Oktober 31, 2021 20:09 MYT
Pemergian Tan Sri James Jemut Masing bukan sahaja dirasai oleh keluarganya malah ahli parti, masyarakat Dayak dan Sarawak secara keseluruhannya, kata Datuk Snowdan Lawan. -Gambar Fail
KUCHING: Sejak memegang jawatan sebagai Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), sifat kepimpinan mendiang Tan Sri Datuk James Jemut Masing tidak luntur seperti seorang bapa yang memimpin sebuah keluarga.
Ketua pemuda parti itu, Datuk Snowdan Lawan berkata kepimpinan Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu amat dirasai oleh setiap ahli parti dan wajar dicontohi kerana ianya membentuk imej PRS yang ada sekarang.
“Kehilangan ini bukan sahaja kepada keluarganya malah kepada negeri, parti dan masyarakat Dayak secara keseluruhannya.
“Hal ini kerana mendiang merupakan pemimpin yang hebat, menyerlah, berpendirian tetap dan berani sepanjang karier politik beliau,” kongsi Snowdan selepas dihubungi Astro AWANI pada Ahad.
Tambah beliau lagi, mendiang juga seorang yang berinspirasi, lantang bersuara namun tetap bekerja sehingga ke akhir nafasnya demi rakyat dan negeri tercinta.
“Bagi saya juga, dalam arena politik, kata-kata James Masing bukan sahaja mempunyai inspirasi dan motivasi, namun juga seorang yang ke hadapan," ujar Snowdan.
Snowdan yang juga Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak turut menzahirkan rasa duka cita terhadap keluarga mendiang dan bersama-sama dalam pemergian mendiang Masing.
Terdahulu, pada pagi Ahad, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Jemut Masing disahkan meninggal dunia akibat komplikasi selepas disahkan positif COVID-19.
Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.05 pagi di Normah Sarawak Medical Centre, Kuching.
#Pemergian Tan Sri James Jemut Masing #Timbalan Ketua Menteri Sarawak #Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak #Datuk Snowdan Lawan
;