Masih terlalu awal bagi BN putuskan untuk bergerak solo pada PRU akan datang - Khairy
Bernama
November 21, 2021 19:01 MYT
November 21, 2021 19:01 MYT
REMBAU: Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berpandangan masih terlalu awal bagi Barisan Nasional (BN) untuk memutuskan bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau berkata meskipun parti itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun BN perlu mengkaji lebih mendalam statistik 65 peratus pengundi yang keluar mengundi semalam sebelum memutuskan sama ada akan bergerak secara solo atau sebaliknya pada PRU akan datang.
"Kita kena terima hakikat bahwa PRN Melaka purata hanya 65 peratus sahaja keluar mengundi dan 35 peratus tidak keluar mengundi. Dalam apa jua keputusan yang akan dibuat, kita kena fikirkan soal sama ada Melaka ini adalah representasi kepada PRU atau tidak," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pemberian aset di Pejabat Kesihatan Daerah Rembau di sini.
Khairy seterusnya mengucapkan tahniah kepada jentera parti BN yang dipimpin oleh Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, atas kemenangan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka semalam.
"Secara keseluruhannya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berjalan lancar walaupun ada beberapa kes lain, tetapi boleh tahan... sederhana (pematuhan SOP). Setakat ini semua parti berjaya menyesuaikan diri dengan kempen yang baharu, ini adalah satu model untuk PRN Sarawak nanti," katanya.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional
#PRU
#pilihan raya umum
#bergerak solo
#Ahli Parlimen Rembau
#Khairy Jamaluddin
#BN
#PRN Melaka