'Masih layak atau tidak, biar ahli parti nilai prestasi saya' - Salahuddin

Muhafandi Muhamad
Mei 21, 2019 15:41 MYT
Biarlah ahli menilai prestasi say, saya cuma mampu untuk memikul amanah yang telah diberikan kepada saya. - Foto BERNAMA
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Salahuddin Ayub menyerahkan kepada ahli parti untuk menentukan kedudukannya sama ada masih layak untuk memikul tugas sebagai timbalan presiden atau sebaliknya.
Salahuddin berkata, beliau telah melakukan terbaik untuk parti sepanjang memikul tanggungjawab sebagai timbalan kepada presiden parti, Mohamad Sabu.
“Biarlah ahli menilai prestasi saya, saya cuma mampu untuk memikul amanah yang telah diberikan kepada saya.
“Saya cuba buat terbaik. Kalau ahli lihat perlu, saya akan teruskan tanggungjawab saya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Selain itu, beliau turut memaklumkan proses pemilihan dalam parti Amanah berlandaskan demokrasi dan berlangsung mengikut peraturan parti.
Tiada isu besar melibatkan parti setakat ini dan amalan demokrasi tetap menjadi peraturan dalam parti.
Pada masa ini sedang berlangsung mesyuarat cawangan di seluruh negara yang mana pemilihan sayap parti negeri akan diadakan pada Jun depan manakala pemilihan peringkat pusat akan diadakan pada November depan.
#Amanah #Mohamad Sabu #Salahuddin Ayub #Timbalan Presiden AMANAH #Timbalan Presiden Parti Amanah Negara