Masih belum terlambat untuk Pas bersama Pakatan Harapan - AMK Kelantan
Rahimah Abdullah
Mei 20, 2017 12:55 MYT
Mei 20, 2017 12:55 MYT
Adalah masih belum terlambat buat Pas untuk bersama Pakatan Harapan, ujar wakil AMK Kelantan, Tarmizi Yusof.
Tegas beliau, kedua-dua parti perlu mengetepikan pertelagahan kerana musuh utama parti adalah Barisan Nasional.
"Walaupun kita sudah batalkan tahaluf siyasi dengan Pas, tetapi masih belum terlambat buat Pas nak bersama dengan Pakatan Harapan.
"Jadi kita perlu memperbetulkan keadaan kerana musuh kita adalah UMNO dan BN. Kenapa kita bertelagah sama sendiri?," katanya semasa membahaskan ucapan dasar Ketua AMK sempena Kongres Nasional AMK yang berlangsung di Pusat Konvensyen IDCC di sini hari ini.
Tegasnya, PKR difitnah kononnya tidak menyokong pindaan RUU355, sedangkan Ketua Umum parti itu sendiri memberi sokongan kepada usaha memperkasa mahkamah syariah itu.
"Tahaluf siyasi dengan Pas telah diputuskan. Maka janganlah kita mengenang kisah lama. Sejarah memberi pengajaran besar dan kita perlu move forward. Kita dituduh tidak menyokong RUU 355. Kita dituduh pengkhianat, sedangkan ketua umum kita menyokong RUU 355," tambahnya.
Dalam pada itu, beliau melahirkan penghargaan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana meminta semua lantikan politik melibatkan wakil parti itu di Kelantan melepaskan jawatan mereka.
"Syabas presiden kerana suruh kami letak jawatan. Ini bermakna kami taat dan akur dengan parti.
"Saya juga mohon usahlah sebut lagi mengenai masalah dalaman. Fikirkan calon PRU kita yang akan dikemukakan dan boleh capai kemenangan," ujarnya.
Pada 16 Mei lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas mesyuarat Biro Politik Keadilan, meminta agar semua lantikan politik melibatkan wakil parti itu di Kelantan termasuk ahli majlis tempatan dan lantikan di syarikat berkaitan kerajaan negeri melepaskan jawatan mereka berkuat kuasa serta-merta.