Masidi nafi 15 ADUN Bersatu Sabah sertai USNO
Astro Awani
Disember 7, 2022 16:40 MYT
Disember 7, 2022 16:40 MYT
KOTA KINABALU: Satu mesej tular di aplikasi WhatsApp mendakwa 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan keluar parti dan menyertai parti tempatan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dalam masa terdekat.
Tindakan itu dikatakan bagi mengukuhkan parti tempatan Sabah sekali gus jajaran baharu politik menyokong Kerajaan Pusat.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menafikan perkara ini.
Masidi yang juga Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, penyebaran berita palsu tersebut adalah satu tindakan tidak bijak dan matang dalam usaha memecahbelahkan kerjasama GRS dan Barisan Nasional di Sabah.
“Tidak benar. Saya lihat ini adalah satu tindakan amatur tidak bijak yang mahu memecah belahkan GRS dan BN,” katanya ketika dihubungi melalui WhatsApp pada Rabu.
Mesej yang tular itu turut mendakwa, tindakan 15 ADUN PPBM menyertai USNO ini tidak melanggar Akta Anti Lompat Parti memandangkan akta ini belum diluluskan di DUN Sabah.
Isnin lalu, Parti Solidariti Tanahairku (STAR) mengumumkan meninggalkan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.
GRS sebelum ini memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10.
GRS terdiri daripada PPBM, USNO, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP), STAR.
Pada 22 Oktober lalu, ADUN Bandau, Datuk Wetrom Bahanda bertindak meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Warisan (Warisan).
Ini menjadikan Bersatu Sabah ketika ini memiliki 15 kerusi termasuk di kerusi DUN Sulaman yang disandang Ketua Bersatu Sabah merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Nor
Sekiranya mesej yang tular ini sahih, ini bermakna Bersatu tidak langsung memiliki sebarang kerusi di Dewan Undangan Negeri.