Masalah timbul jika wanita diberi mandat memimpin - Izat Bukhary

Sathesh Raj
September 16, 2014 16:25 MYT
Izat Bukhary (kanan) bersama dua lagi calon PRK Pengkalan Kubor di hari penamaan calon. -Gambar fail
Calon Bebas pilihanraya kecil (PRK) dewan undangan negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Izat Bukhary Ismail Bukhary berkata wanita tidak harus menjadi pemimpin politik kerana mereka tidak mampu memimpin.
Dalam temu bual eksklusif melalui telefon dengan Astro AWANI, beliau berkata ini dapat dilihat di negara-negara seperti Thailand dan Pakistan yang dipimpin wanita, yang menghadapi banyak masalah.
"Dengan jelas, kita boleh melihat kelemahan wanita dalam kepimpinan mereka hanya dengan memandang negara-negara jiran kita," kata beliau sambil merujuk kepada bekas Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra dan juga bekas Perdana Menteri Pakistan Benazir Bhutto.
Izat, seorang bekas pensyarah, berkata masalah akan timbul jika wanita diberi mandat untuk memimpin sesebuah daerah atau negeri.
Beliau turut merujuk kepada pencalonan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk dipertimbang memegang jawatan Menteri Besar negeri itu.
"Asas dalam agama Islam, pertama seorang pemimpin perlu merupakan seorang Islam dan berdasarkan itu pemimpin juga perlu merupakan seorang lelaki," katanya.
Izat, yang hilang deposit apabila meraih hanya 65 undi dalam pilihan raya umum ke-13 lalu, berkata beliau berazam untuk bertanding sekali lagi kerana menaruh kepercayaan ke atas mereka yang telah memberi undi kepadanya.
Dalam pilihan raya kecil (PRK) Pengkalan Kubor 25 September ini, Izat akan bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail dan calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim.
Izat, yang bercita-cita membentuk Negeri Islam di Kelantan berkata, membenarkan wanita memegang tonggak kepimpinan negeri jelas bertentangan dengan Islam.
"Dalam Islam, bukan sahaja wanita dilarang memimpin keluarga, apatah lagi negara," katanya.
Izat yang sudah berkahwin dengan tujuh anak berkata beliau mahu melihat pembangunan di Pengkalan Kubor yang dilihatnya masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek.
Beliau turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin negara berhubung pelaksanaan peraturan Islam dan menyatakan hasrat ingin memperjuangkannya.
Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 25 September ini sebagai tarikh pengundian. PRK Pengkalan Kubor bakal diadakan susulan kematian penyandang dari BN, Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos.
#Pengkalan Kubor #PRK
;