Masa jadi kerajaan, kenapa tak pisahkan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya? - Azalina
Ridauddin Daud
September 18, 2023 13:23 MYT
September 18, 2023 13:23 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memberi jaminan kerajaan komited untuk memisahkan kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.
Beliau turut mengkritik kerajaan sebelum ini selain mempersoalkan mengapa tidak dilakukan pemisahan itu sedangkan ketika itu mereka berkuasa.
"Kerajaan Madani hari ini komited untuk memisahkan Peguam Negara daripada kuasa pendakwaan dan kita telah setuju dari segi prinsip, itu satu.
“Keduanya, Jawatankuasa Hak Asasi akan bersama dalam kajian empirikal. Ketiga, saya nak cakap satu saja, kenapa masa Yang Berhormat (dari Perikatan Nasional) jadi kerajaan, tak nak pisahkan Peguam Negara dan kuasa pendakwaan.
“Kenapa tak pisah bila Yang Berhormat jadi kerajaan? Bila belah sana kena, kata pendakwaan terpilih. Bila belah sini kena, kata padan muka. Apa hal?
“Dalam isu ini, kami cakap, kami buat tetapi Yang Berhormat di sana, bukan saja tak buat, cakap pun tak. Berkuasa empat tahun, saya duduk situ, saya tegur.
“Jangan nak kata pendakwaan terpilih kerana Kerajaan Madani ini komited terhadap tata kelola yang lebih adil. Sebab itu ‘hashtag’ kami, walk the talk tapi belah sana, ‘hashtagnya’, they don’t walk and they don’t talk,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Azalina menjawab celahan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang membangkitkan isu pendakwaan terpilih dalam kes-kes mahkamah yang kononnya hanya dikenakan terhadap pembangkang.